SHAH ALAM, 17 MEI: Seorang warga emas cedera selepas kenderaan dipandunya terbabas sebelum melanggar pondok tol di Plaza Tol Ampang (SUKE), Bandar Baru Ampang, petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.57 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang digerakkan ke lokasi kejadian pada jam 5.05 petang dengan jarak kira-kira dua kilometer dari balai.
“Komander operasi melaporkan sebaik tiba di lokasi, kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang terbabas sebelum melanggar pondok tol di lokasi kejadian.
“Insiden tersebut melibatkan seorang mangsa lelaki Melayu berusia 60 tahun mengalami kecederaan dalaman di bahagian dada akibat impak kemalangan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Mukhlis, sebelum ketibaan pasukan penyelamat, mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian dan diberikan bantuan awal sementara menunggu ketibaan pasukan bomba.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut sebelum dibawa ke Hospital Ampang bagi menerima rawatan susulan akibat kemalangan tersebut.
Beliau berkata operasi menyelamat melibatkan tujuh anggota dengan kekuatan satu jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.32 petang selepas keadaan di lokasi kembali terkawal.








