SHAH ALAM, 15 MEI: Hujan berterusan beberapa jam petang tadi menyebabkan paras air sungai di Taman Garing, Rawang meningkat mendadak sehingga berlaku limpahan di beberapa kawasan sekitar, namun keadaan dilaporkan masih terkawal.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rawang, TPgB II Zaidi Ahtan berkata pihaknya melakukan pemantauan sekitar Rawang Tin dan Country Homes susulan kenaikan paras air sungai tersebut.
Menurutnya, kejadian itu berpunca daripada hujan lebat berterusan di kawasan tanah tinggi yang menyebabkan aliran air dari bukit mengalir deras ke sungai sekali gus menaikkan paras air dengan cepat.
“Hujan sekitar tiga hingga empat jam di kawasan bukit menyebabkan air turun ke bawah dan jumlah air dalam sungai meningkat.
“Air memang naik besar di sungai sepanjang kawasan Rawang Tin dan Country Homes, tetapi limpahan itu tidaklah banyak hingga menyebabkan banjir,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Beliau berkata keadaan kembali reda selepas hujan berhenti sekitar jam 7.30 malam, dan paras air kini mula menurun secara beransur-ansur.








