Depani situasi luar jangka, puluhan tahfiz di Selangor tubuh Skuad Bomba

20 Mei 2026, 1:00 AM
Depani situasi luar jangka, puluhan tahfiz di Selangor tubuh Skuad Bomba
Depani situasi luar jangka, puluhan tahfiz di Selangor tubuh Skuad Bomba
Depani situasi luar jangka, puluhan tahfiz di Selangor tubuh Skuad Bomba

SHAH ALAM, 18 MEI: Lebih 40 sekolah tahfiz di negeri ini memiliki pasukan Skuad Bomba dianggotai guru dan pelajar, bagi meningkatkan keselamatan penghuni, khususnya ketika kebakaran.

Menurut Penolong Pengarah Bomba Bahagian Keselamatan Kebakaran, inisiatif sejak 2020 itu sebagai bantuan kecemasan kepada warga sekolah jika berdepan situasi luar jangka yang merisikokan nyawa.

Ts Razali Mohd Nasir berkata mereka yang terlibat diberikan kursus kesedaran asas kebakaran, selain latihan pengosongan bangunan dan cara memilih laluan selamat.

“Ahli Skuad Bomba ini seperti pengurus operasi kecemasan. Mereka perlu beri arahan, pastikan semua pelajar selamat dan keluar dari setiap bilik jika berlaku kebakaran.

“Kami turut beri pendedahan berhubung ilmu sains kebakaran. Kenapa dan bagaimana kebakaran berlaku, cara padam dan padamkan kebakaran guna apa alat yang ada,” katanya kepada Media Selangor.

Salah satu pusat tahfiz di Selangor yang mengikuti kursus dan latihan keselamatan kebakaran sebagai persediaan penubuhan Skuad Bomba. Foto JBPM SELANGOR

Jelasnya, penubuhan Skuad Bomba bukan hanya memanfaatkan sekolah, sebaliknya turut membantu pihaknya melaksanakan kerja menyelamat awal sementara menanti ketibaan pasukan bomba sebenar.

Berikutan mendapat maklumat awal dari skuad berkenaan, langkah itu menurut Razali, menyebabkan kerja menyelamat dan memadam api lancar dan pantas, sekali gus memudahkan proses yang lain.

“Ahli skuad jadi kumpulan pertama bantu bomba. Kita sampai, mereka maklumkan kawasan mana yang terbakar, jadi boleh terus padam. Masa beri kursus, kita dedahkan teknik padang.

“Jadi kita tahu mangsa mesti ditempatkan di padang, senang untuk kita tahu mana mangsa dikumpulkan. Maklumat ini penting supaya kita dapat selamatkan mereka secepat mungkin,” jelasnya.

Beliau menambah penubuhan skuad terbabit mendapat permintaan tinggi daripada pusat tahfiz, namun pihaknya terikat dengan beberapa kekangan termasuk faktor masa dan tanggungjawab tugas hakiki.

Inisiatif penubuhan Skuad Bomba Tahfiz dilihat mampu melahirkan komuniti sekolah yang lebih peka terhadap aspek keselamatan serta prosedur menyelamat awal. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Bagaimanapun, JBPM Selangor menetapkan setiap zon bomba perlu memberi dan menawarkan kursus terbabit kepada dua sekolah setiap tahun demi meningkatkan lagi jumlah Skuad Bomba.

“Maklum balas sekolah sangat bagus. Tambahan, kita tidak kenakan sebarang bayaran cuma kongsikan perkhidmatan dan pengetahuan kita kepada pelajar untuk tingkatkan kesedaran kebakaran.

“Ini usaha kita kepada masyarakat. Kita tidak nafikan skuad ini memang boleh bantu ketika kecemasan. Kita juga tida fokus kepada tahfiz sahaja tetapi komuniti dan perumahan,” katanya.

Sepanjang lima tahun sehingga 2025, Razali berkata hanya tiga pusat tahfiz di negeri ini terlibat kebakaran iaitu Maahad Integrasi Tahfiz Selangor Kuala Langat pada Ogos 2020, dengan 40 peratus terbakar.

Pada Julai 2023, Maahad Tahfiz Harun Al Masri di Kuala Langat mengalami 70 peratus kebakaran selain Asrama Tahfiz Sungai Long membabitkan 80 peratus pada Disember 2023.

“Bagaimanapun semua kejadian ini tidak melibatkan mangsa,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.