PPAS sertai pentas anugerah sastera kanak-kanak paling berprestij dunia

29 Jul 2026, 3:44 AM
PPAS sertai pentas anugerah sastera kanak-kanak paling berprestij dunia

SHAH ALAM, 29 JULAI: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) mengukuhkan kedudukannya di pentas antarabangsa apabila dilantik sebagai Penaja Rasmi Anugerah Hans Christian Andersen 2027 menerusi kerjasama strategik dengan International Board on Books for Young People (IBBY).

Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari berkata pelantikan itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara PPAS dan IBBY di Bilik Gerakan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor, semalam.

"Anugerah Hans Christian Andersen merupakan pengiktirafan tertinggi dunia dalam bidang sastera kanak-kanak yang dikendalikan oleh IBBY dan sering digelar sebagai "Nobel Prize of Children's Literature."

"Majlis penyerahan rasmi (pelantikan itu) akan berlangsung di Ottawa, Kanada pada 7 Ogos depan sempena Kongres Dunia IBBY Ke-40 yang menghimpunkan penulis, ilustrator, penerbit, pustakawan serta penggerak literasi dari seluruh dunia," tulisnya di Facebook hari ini.

Katanya, kerjasama berkenaan bukan sahaja memperkukuh pengiktirafan PPAS di peringkat antarabangsa menerusi penjenamaan dan penyertaan dalam pelbagai program rasmi IBBY, malah membuka ruang kepada jaringan kerjasama global yang lebih luas.

"Ia sekali gus memperkasa budaya membaca, memperkukuh ekosistem sastera kanak-kanak serta mengangkat Selangor sebagai hab serantau bagi kerjasama antarabangsa dalam bidang literasi," katanya.

Menurut Amirudin, inisiatif itu turut selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk memastikan setiap kanak-kanak mendapat akses kepada ilmu, pendidikan dan bahan bacaan berkualiti tanpa ada yang tercicir.

"Saya percaya kerjasama ini akan menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai generasi muda yang mencintai ilmu, berfikiran kreatif serta mampu bersaing di pentas dunia," katanya.

Beliau turut merakamkan tahniah kepada seluruh warga PPAS atas pencapaian berprestij itu dan berharap kerjasama berkenaan menjadi titik tolak kepada lebih banyak kejayaan yang mengharumkan nama Selangor di persada antarabangsa.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.