SHAH ALAM, 22 MEI: Kerajaan Negeri terus memperkukuh agenda pendidikan apabila memperuntukkan hampir RM20 juta bagi menaja kos pengajian kira-kira 4,000 pelajar di tiga institusi pengajian tinggi milik Selangor.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tajaan itu melibatkan pelajar di Universiti Islam Selangor (UIS), Universiti Selangor (UNISEL) dan Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC), dengan kerajaan negeri menanggung separuh daripada kos pembelajaran mereka.

“Kita sasar hampir 4,000 anak-anak Selangor belajar di UIS, Unisel dan STDC. Kerajaan Negeri akan menanggung separuh daripada kos pembelajaran di institusi-institusi ini.
“Hanya ada dua negeri yang mempunyai keupayaan ini… yang pertama Sarawak menaja penuh, kita taja satu per dua. Kita satu-satunya negeri di Semenanjung yang mampu melaksanakan dengan kos begitu besar, hampir RM20 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis peluncuran Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dan Program Didik Kasih (PDK) 2026 di Dewan Raja Muda Musa, hari ini.

Menurut Amirudin, langkah itu bukan sekadar membantu meringankan beban keluarga, malah menjadi sebahagian usaha jangka panjang Kerajaan Negeri untuk membuka akses pendidikan lebih luas kepada anak Selangor.
“Dengan harapan di masa depan, kita akan cuba melengkapkan, mendapatkan hasil yang lebih, memperkemaskan sikit pengurusan.
“Kalau formatnya berjaya, programnya berjaya, insya-Allah kita juga bersedia untuk menaja penuh pembelajaran pendidikan percuma untuk mereka yang memerlukan dan buktikan pendidikan percuma bukan satu impian yang mustahil,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan penyediaan pakej rangsangan tambahan termasuk bantuan makanan kepada pelajar yang mengikuti PTRS susulan peningkatan kos sara hidup.
“Di saat kita memotong peruntukan untuk sektor-sektor lain, insya-Allah sektor pendidikan akan kekalkan dengan jumlah sedia ada,” katanya.
Sebelum ini, Amirudin memaklumkan peruntukan RM136.2 juta menerusi Belanjawan Selangor 2026 menjadi jumlah tertinggi pernah disediakan Kerajaan Negeri bagi sektor pendidikan, meningkat RM55 juta berbanding tahun sebelumnya.











