SUNGAI PETANI, 16 MEI: Kira-kira 50,000 lepasan tahfiz/pondok persendirian akan mendapat manfaat bagi melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk mengikuti program-program tertentu.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim berkata ia susulan keputusan Kabinet berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan, iaitu daripada aliran sekolah atau institusi tahfiz, sekolah swasta dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC)/UEC, baru-baru ini.
Beliau berkata walaupun ada lepasan tahfiz yang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) telah melanjutkan pengajian di IPTA, keputusan terbaharu itu menjadi penambahan paling signifikan untuk pelajar aliran agama.
“Untuk lepasan pondok persendirian, terdapat kira-kira 50,000 orang manakala lepasan SMPC/UEC tidak sampai 9,000 orang.
“Jadi, penambahan yang paling signifikan ialah kepada pelajar aliran agama... kita akan bagi peluang untuk mereka melanjutkan pelajaran di universiti awam,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Temu Siswa (Tesis) Zon Utara di Universiti Teknologi MARA Kedah dekat sini hari ini.
Adam Adli berkata pihaknya berharap keputusan Kabinet itu tidak dipolemikkan dan menegaskan bahawa kerajaan sentiasa mendengar pandangan pelbagai pihak berkaitan perkara tersebut.
“Bagi masa kepada situasi ini untuk reda sedikit dan pastikan apabila kita mengulas hal ini, kita ambil pandangan pelbagai pihak... kita tidak menolak tepi keresahan dan kita tidak menafikan bantahan... kita buka perbincangan yang lebih luas.
“Kita harap situasi ini dapat diuruskan dengan baik supaya boleh membawa kepada impak positif seperti yang diharapkan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata terdapat banyak perkongsian yang disampaikan oleh penuntut institusi pengajian tinggi di kawasan utara yang akan diberikan perhatian oleh Kementerian Pendidikan Tinggi menerusi Program Tesis Zon Utara.
“Program Tesis menjadi platform untuk dialog, bertanyakan soalan serta berkongsi pandangan... antara yang dibangkitkan mahasiswa ialah soal kebajikan, akademik, laluan kerjaya dan ekonomi serta isu semasa berkaitan sektor pendidikan.
“Hampir semua yang mereka suarakan ini akan kita bawa ke peringkat KPT khususnya berkaitan kesan krisis ekonomi yang turut memberi impak kepada mahasiswa,” katanya.








