Sijil Turath Malaysia buka peluang pengajian, kerjaya pelajar pondok

21 Okt 2026, 8:13 AM
Sijil Turath Malaysia buka peluang pengajian, kerjaya pelajar pondok
Sijil Turath Malaysia buka peluang pengajian, kerjaya pelajar pondok

BANGI, 21 OKT: Pengenalan Sijil Turath Malaysia menerusi Belanjawan 2027 membuka peluang lebih luas kepada pelajar institusi pondok dan turath untuk menyambung pengajian serta membina kerjaya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh sistem pendidikan pondok dan tradisi turath secara menyeluruh.

“Permulaannya dapat dilihat apabila kerajaan melaksanakan beberapa inisiatif termasuk pendigitalan kemahiran institusi pondok bagi melengkapkan ekosistem pendidikan dan turath seperti institusi tahfiz.

“Justeru, dengan adanya Sijil Turath Malaysia, ia memberi peluang kepada pelajar di institusi pondok dan turath untuk meneruskan pengajian serta mengembangkan peluang kerjaya mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Dialog Ummah 2.0 Memperkukuh Institusi Diraja Mensejahterakan Ummah di Bangi Resort Hotel di sini, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan ketika ditemui pada Dialog Ummah 2.0 Memperkukuh Institusi Diraja Mensejahterakan Ummah di Bangi Resort Hotel, 21 Oktober 2026. Foto KHAIRUL HELMY/MEDIA SELANGOR

Mengulas penubuhan Majlis Penasihat Pondok dan Tradisi Turath Malaysia, Zulkifli berkata badan berkenaan berperanan mendapatkan pandangan serta nasihat pelbagai pihak di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Menurutnya, penubuhan majlis itu diharap dapat menyumbang kepada pembangunan insan Malaysia MADANI melalui pengukuhan pendidikan pondok dan tradisi turath.

Beliau berkata, usaha berkenaan juga bertujuan melengkapkan ekosistem pendidikan supaya institusi pondok dan pengajian turath terus relevan, selain menyediakan laluan pengajian serta kerjaya yang lebih tersusun.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 mengumumkan penubuhan Majlis Penasihat Pondok dan Tradisi Turath Malaysia dengan penyertaan ulama antarabangsa termasuk Syeikh Ali Gomaa dan Syeikh Idris al-Fasi.

Kerajaan turut memperkenalkan Sijil Turath Malaysia bagi menjamin kemapanan institusi pondok serta memelihara kesinambungan pengajian ilmu dan turath.

Belanjawan 2027 juga menyaksikan peruntukan hal ehwal Islam meningkat kepada RM3.1 bilion berbanding RM2.6 bilion sebelum ini.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.