Oleh Ronasina
Ilustrasi Muizzah
Kali ini Jali benar-benar buntu. Dia mati kutu dan tidak tahu apa lagi alasan yang hendak didalihkan kepada Piah. Serba-salah dibuatnya. Hendak meminjam dengan kawan-kawan, dia malu. Memang itu bukan perangai aku, tegas Jali. Kalau boleh mengelak, dia akan mengelak daripada meminjam dan meminta-minta.
“Mati aku kali ni,” gerutu Jali kepada dirinya sendiri.
Sepanjang dia menunggang skuter dari rumahnya di Kampung Sesapan Kelubi, Beranang menuju ke Shah Alam, dia tak habis-habis berdoa.
“Kasihanilah aku Ya Allah. Kali ini saja. Kabulkanlah doa hambaMu ini.” bisiknya lagi. Jali berdoa sungguh-sungguh dari atas skuternya itu.
Skuternya meluncur laju membelah Lebuhraya Utara-Selatan. Mujurlah petang Sabtu, arah menghala ke pusat bandaraya tidak sesak sangat. Kalau tidak, susah juga dia nak bermonolog atau berdialog dengan Tuhan kerana sibuk mengenderai skuternya. Jalan yang sibuk tak akan membenarkan dia menunggang sambil melayan fikiran.
“Takkan RM500 saja, bang?” soal Piah dengan matanya sengaja dijegilkan. Jegilan Piah membuatkan ari-ari Jali kecut. Selalunya begitulah. Piah akan membebel panjang kalau tidak puas hati dengan satu-satu hal. Jali pula selalunya hanya akan diam membatu tak berkutik.
“Zaman makin berubah tapi harga masih dok macam itu saja!” leter Piah lagi, panjang dan bising bagai bertih digoreng.
Itu bebelan Piah minggu lepas apabila Jali memberitahu yang dirinya ditawarkan membaca dua buah sajak di program Malam Seni Kemanusiaan anjuran Persatuan Seniman Kota Raya. Dan sekarang ini Jali sedang menunggang skuternya menuju ke tempat program yang akan berlangsung malam nanti.
“Ya, banyak itu sajalah yang layak abang dapat. Abang ni kan hanya seniman cabuk.” jawab Jali lemah. “Itu pun mujurlah Salleh Kicap yang bagi job ni. Ingat juga dia kat abang. Bersyukurlah!”
“Memanglah. Tapi RM500 tak berbaloilah bang oi! Modal pergi-balik, makan-minum bagai berapa saja yang tinggal?” bantah Piah. “Kalau mereka boleh jemput R.Kadir sebagai artis jemputan mestilah mereka ada bajet besar! Takkan R.Kadir nak naik pentas kalau hanya dibayar RM500 macam abang? Kurang-kurang RM10 ribu untuk nyanyi tiga buah lagu. Dia ‘superstar’ bang. kalau dia dibayar RM10 ribu takkanlah abang tak boleh dibayar sepuluh persen saja daripada harga dia? Melampau betul.”
Jali melepaskan nafas berat. Seniman cabuk sepertinya manalah boleh suka-suka tetapkan harga. Nanti apa dikata dek orang persatuan. Sudahlah tak popular, banyak songeh pula lagi.
“Abang mintalah Salleh Kicap naikkan sikit. Mintalah RM1,000. Ingat seniman bebas macam abang tak makan nasi? Ingat seniman bebas duduk bawah jambatan? Minta naik ya, bang?” Piah memujuk dengan nada sedikit lembut tetapi Jali rasa bunyinya seperti satu desakan.
“Baiklah,” Jali mengangguk lemah. Dia beralah. Dia pasti yang dia tak berani meminta kepada Salleh Kicap agar bayaran dinaikkan tetapi untuk meredakan Piah sekejap, dia pura-pura setuju. Sekurang-kurangnya hari ini dia dapat lepaskan diri. Esok sudah pasti Piah akan mengungkit lagi. Jali tahu lambat-bangat dia tak akan dapat mengelak.
“Tapi, seronokkan abang dapat sepentas dengan R.Kadir? Piah bangga tau!” kata Piah sambil melentokkan kepalanya ke bahu Jali. Barangkali persetujuan Jali untuk menghubungi Salleh Kicap itu telah menyejukkan sedikit hati Piah.
“Alah! Seniman cabuk macam abang ni mesti akan jadi peserta pertama naik ke pentas sebagai pembuka majlis. Yang hebat-hebat semua naik lambat.” Kata Jali merendah diri. Memang itu yang Jali selalu kena. Tetapi dia sedar diri, siapalah dia. Karyanya pun tak sekuat mana untuk mengangkat namanya. Hanya sesekali sahaja tersiar di sudut-sudut akhbar dan majalah dalam setahun. Tak siapa perasan akan nama penanya - Kenari Sepi.
“Tapi persembahan abang selalu memukau walaupun abang naik awal. Kadang-kadang yang punya nama besar itu pun tak sesedap persembahan abang.” puji Piah sambil membelai janggut Jali yang semakin panjang dan memutih. Jali hanya tersenyum kembang.
Itulah sifat seorang isteri, fikir Jali. Isteri merupakan peminat paling setia bagi sang seniman dan isteri juga adalah pengkritik yang paling berani. Kalau tak sedap, mereka akan kritik tanpa selindung. Jali hargai kejujuran dan kesetiaan Piah dalam bab itu. Tapi, kecamuknya masih belum habis. Dia masih tak punya keberanian untuk meminta bayaran lebih. Paling merisaukan ialah bagaimana dia hendak berhadapan dengan Piah malam nanti jika bayaran persembahan sebenar bukannya RM500 tetapi hanya RM300. Jali menipu Piah kononnya bayaran sebanyak RM500 demi untuk menyedapkan hati Piah tetapi rupanya Piah mahu RM1,000. Kusut di kepala Jali makin berserabut.
Sesampainya di lokasi program, Jali menongkatkan skuternya di bawah garaj motosikal. Dewan nampaknya masih belum ada pengunjung. Yang ada hanya pekerja sedang menyusun bangku dan memasang alat siaraya. Jali, seperti selalunya akan memastikan yang dirinya tiba di tapak program seawal mungkin untuk melihat suasana, juga untuk mengambil mood. Dia meninjau keadaan pentas, susunan kerusi dan perabot, untuk merancang bentuk persembahannya malam nanti. Di mana tempat duduk VIP, di mana tempat duduk kawan-kawan seniman dan di mana tempat duduk penonton Jali mesti peka. Jali membuka beg sandangnya dan mengambil buku catatannya, tempat segala karyanya dicurahkan. Dia memejamkan mata menghafal bait-bait puisi karangannya. Sesekali dijelingnya pentas dan membayangkan posisi yang akan diambilnya nanti.
“Macam mana, bang? Dah minta naik harga?” soal Piah dua hari lepas dengan penuh semangat. Mata Piah yang galak itu mengecutkan lagi perut Jali.
“Dah.” Jawab Jali pantas.
“Baguslah begitu. Bukan apa, kalau dapat duit tu nanti Piah nak buat gigi palsu ni.” kata Piah sambil membuka mulut menunjukkan sebatang gigi depan bahagian bawahnya yang rongak sebab jatuh tersembam di sudut dapur kelmarin. “Doktor kata lebih kurang seribu juga harganya.”
“Boleh.” Kata Jali spontan.
Dada Jali berdegup kencang. Kepalanya mengulang soalan yang sama. Apalah akan jadi kalau dia balik malam nanti selepas selesai persembahan dengan membawa hanya RM300? Mesti bergaduh teruk nampak gayanya. Mana dia nak cekau baki lagi RM700?
“Awal sampai?” tegur Salleh Kicap membuat Jali terkejut dari menungan. Salleh, selaku Naib Bendahari Persatuan Seniman Kota Raya juga antara orang yang selalu hadir awal bagi memastikan program yang dibuat akan berjalan lancar. Mujurlah ada Salleh, kawan serumahnya ketika sama-sama bujang dahulu. Dapat jugalah dia tempias duit persatuan melalui persembahan kecil sebegini.
“Err..Salleh,” Jali memanggil Salleh dengan suara teragak-agak.
“Apa hal?” tanya Salleh Kicap sambil menghulurkan sebatang rokok kepada Jali. Salleh mencetuskan api dari pemetik api dan membakar rokok yang tercokeh di bibir Jali.
Jali menghembuskan asap rokok sebelum berkata, “Apa macam persiapan?”
Salleh Kicap mengangguk kepala sambil turut menghembuskan asap rokoknya. Dia mengangkat ibu jari tanda baik. “Ramai dijangka datang malam ni. Maklumlah R.Kadir ada.” Jawab Salleh sambil ketawa menampakkan gigi kapaknya yang berkarat.
Jali mengangguk sambil ketawa tetapi Jali sedar ketawanya lemah. Dia cuba membuka mulut untuk membuat permintaan terakhir kalau-kalau boleh dinaikkan sedikit bayaran. Malangnya, suaranya tersekat.
“Harap malam ni kau punya sajak hebat macam sebelum-sebelum ni,” kata Salleh sambil menepuk bahu Jali. Salleh mencampakkan puntung rokok dan menenyehnya dengan tapak kasut supaya api di puntung padam. Sambil terkerenyin, Salleh meminta diri untuk meneruskan kerja. Jali terkulat-kulat sendirian. Terlepaslah peluang nampaknya.
“Maafkan abang, Piah.” bisik Jali perlahan. “Abang tak bermaksud nak menipu Piah.”
Jali berjalan perlahan-lahan di tepi pagar dewan dalam keadaan kepalanya berserabut. Orang yang melihat pasti menyangka Jali, seniman hebat sedang berfikir atau sedang mencari ilham.
Maghrib hampir tiba. Jali memandang ke arah surau di sudut dewan. Dia nampak ada seorang dua lelaki mula memasuki surau sebagai persediaan untuk solat. Jali lemah. Dia menggelengkan kepala. Akalnya sudah habis untuk memikirkan segala ikhtiar. Dia akui kelemahan dirinya selama ini yang takut untuk berterus-terang dalam apa sahaja urusan. Baik dengan pihak penganjur, juga dengan Piah. Jali kemudian membayangkan yang dia bersedia mengambil risiko bergaduh dengan Piah di rumah nanti kerana gagal berkata benar tetapi dia akan berjanji dengan Piah yang dia akan berubah selepas ini untuk menjadi berani dalam menetapkan harga.
“Tolonglah, Ya Allah. Kali ini saja aku meminta sangat kepada-Mu. Tolonglah aku agar jangan hampakan Piah bila sampai rumah nanti,” doa Jali sambil mengangkat tangan. Dia mengadu kepada Tuhan sebab sudah putus harap. Dia menadah tangan. Dia tak pasti apakah orang lain nampak. Kalau ada orang nampak pastilah orang berasa hairan mengapa Jali duduk berlutut sambil mengangkat tangan ke langit begitu. Jali bangun dengan kelopak mata yang bergenang lalu menuju ke tempat wuduk ketika dia terdengar suara laungan azan dari dalam surau kecil di dewan itu.
“Baguslah persembahan kau tadi, Jali!” ucap Salleh Kicap dengan gembira sambil memeluk Jali. Sebaik pelukan dilepaskan, Salleh Kicap menghulurkan sampul surat berwarna putih kepada Jali. Jali mengambilnya sambil mengucap terima kasih. Salleh Kicap kemudiannya meminta izin untuk beredar meneruskan tugasnya. Persembahan masih berlangsung. Jali sudah selesai kerana dia peserta pertama. Dari belakang pentas, dia melihat seorang lagi penyair muda sedang membaca sajak. Dia dapat melihat betapa mulut penonton terlopong melihat persembahan hebat anak muda tersebut. Sama terlopongnya mulut mereka ketika kagum melihat aksinya sebentar tadi.
Jali menggosok-gosok sampul surat putih yang diterimanya. Jali tahu di dalamnya hanya RM300 kerana dia dapat rasakan sampul surat tersebut nipis. Namun, Jali masih menaruh harapan. Dia membuka sampul surat tersebut dan mengira not lima puluh di dalamnya. Ternyata memang RM300. Jali ketawa sendiri. Apa keajaiban yang dia harapkan? Aku seniman cabuk, bukan wali keramat yang mustajab doanya, fikir Jali.
“Nampaknya gagallah aku, Ya Allah!” gumam Jali. “Tak apalah. Tak ada rezeki daripada Engkau untuk aku kali ini.”
Bayangan Piah membebel memarahinya menerpa di dalam kepala. Jali tergelak pahit. Tak mengapalah, fikirnya. Dia terima sahajalah bebelan itu nanti. Bukan tak biasa begitu. Cuma, dia ralat juga kerana impian Piah untuk menggantikan giginya yang patah dengan gigi palsu tak dapat dipenuhi. Entah sampai bilalah akan tertangguh. Tak bergunalah dia sebagai suami jika gagal menunaikan permintaan yang semudah itu. Jali mengeluh lagi dan terus mendengus sehinggalah dia terkejut apabila bahunya ditepuk.
“Jali! Kat sini rupanya engkau. Lama betul aku cari!” tegur seorang lelaki. Jali mengerutkan dahi cuba mengingat siapa lelaki ini.
“Aku ingatkan siapalah yang guna nama pena Kenari Sepi selama ini. Rupanya kau Jali!” lelaki itu terus menepuk bahunya dengan penuh gembira dan teruja.
“Jamil Kuyu?” spontan nama itu keluar dari bibir Jali.
Jamil Kuyu ketawa besar dan mendakap erat Jali. “Alhamdulillah! Ingat lagi engkau kat aku, ya?”
Jali dan Jamil Kuyu pun bertepuk-tampar setelah lebih dua puluh tahun terputus hubungan.
“Aku tak tahu kau ada buat persembahan malam ni. Aku ternampak poster program ni di Facebook. Aku nampak muka Salleh Kicap tu yang aku datang. Lama betul tak jumpa Salleh. Tiba-tiba dia kata Kenari Sepi tu engkau.”
Jamil Kuyu terus bercerita tak henti-henti tentang minatnya dengan dunia seni sastera. Memang dari dulu sewaktu bujang pun Jali sedar yang Jamil suka membelek buku catatannya dan memuji-muji sajak-sajak tulisannya. Kau memang berbakat, Jali. Pujian seperti itu tak pernah lekang dari mulut Jamil Kuyu.
“Jali, aku nak minta maaf banyak-banyak sebab selama ni aku tak dapat hubungi engkau. Aku ada juga cari kau di facebook tapi tak jumpa.” Kata Jamil Kuyu tiba-tiba dengan nada perlahan.
“Aku kurang aktif main Facebook. Aku guna nama Kenari Sepi tapi tak ada muat naik apa-apa pun.” jawab Jali mesra. Terlupa seketika dia dengan masalah yang bakal dihadapi dengan Piah apabila pulang nanti.
“Tapi aku tak pernah lupakan kau. Aku sentiasa ingat jasa kau.” kata Jamil Kuyu. Kali ini nadanya lebih sayu.
Jamil Kuyu kemudiannya mengeluarkan beberapa helai not kertas dari dompetnya. Dengan mata gembira, Jamil Kuyu menghulurkannya kepada Jali.
“Akhirnya sampai juga hajat aku nak bayar hutang engkau dulu. Kau ingat? Kau bagi aku pinjam duit masa aku nak balik Sarawak sebab mak aku meninggal dunia?” kata Jamil Kuyu.
Jali terperanjat. “Huih! Aku dah tak ingat dah tu. Aku tak terfikir langsung Jamil!”
Jamil Kuyu berkata, “Tapi aku tak lupa. Aku terus tinggal di Sarawak lepas tu sampai kita putus hubungan. Lepas arwah ayah aku meninggal dunia lima tahun kemudian, barulah aku datang Kuala Lumpur semula. Aku sentiasa ingat nak jelaskan hutang kau.”
“Aku tak fikirkan kau berhutang, Jamil. Aku ikhlas bagi masa tu.” Jawab Jali sungguh-sungguh.
“Dan sekarang aku ikhlas memberi kau semula, Jali. Terima kasih banyak-banyak.” Kata Jamil Kuyu sambil mendakap erat Jali. Jali juga membalas pelukan dengan penuh kesyukuran.
Jali melambai tangan melihat Jamil Kuyu beredar menuju ke ruang dewan. Jali meraba-raba lipatan not pemberian Jamil Kuyu. RM800! Dengan spontan Jali sujud di tanah. Dia tak peduli kalau ada orang nampak.
“Rezeki kau ada Piah. Esok kita buat gigi ya Piah?” bisik Jali perlahan. Dia tidak sabar untuk pulang menemui Piah. Dia benar-benar rasa yang Tuhan mendengar doanya hari ini. Doa seorang seniman cabuk.








