Selangor mahu sertai pasukan petugas Pusat Data Persekutuan

15 Mei 2026, 1:19 AM
Selangor mahu sertai pasukan petugas Pusat Data Persekutuan

PETALING JAYA, 15 MEI: Selangor perlu dilibatkan dalam Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF) kerajaan Persekutuan bagi memastikan pandangan dan kebimbangan negeri itu diambil kira ketika industri berkenaan terus berkembang.

EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han berkata Kerajaan Negeri sebelum ini telah memohon untuk menjadi wakil tetap dalam jawatankuasa khas peringkat Persekutuan yang memantau pembangunan pusat data, namun masih belum mendapat kelulusan.

“Kerajaan Negeri sebelum ini telah memohon untuk menjadi salah satu wakil tetap dalam jawatankuasa khas atau pasukan petugas itu supaya pandangan negeri dapat dipertimbangkan dalam perbincangan dan keputusan berkaitan pusat data,” katanya ketika ditemui pada majlis ‘CXO Closing Gala: The Final Ascent’ di M World Hotel di sini malam tadi.

Sze Han mengulas gesaan Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari supaya kerajaan Persekutuan melibatkan Kerajaan Negeri dalam DCTF yang bertanggungjawab memastikan pembangunan industri itu berjalan secara mampan.

Amirudin berkata beliau mengambil maklum kebimbangan penduduk Selangor mengenai beberapa isu berkaitan pusat data seperti penggunaan air yang tinggi, gangguan bekalan elektrik dan pencemaran bunyi yang boleh menjejaskan komuniti setempat. Menurutnya, penyertaan wakil negeri dalam pasukan petugas itu dapat membantu Putrajaya mendapatkan pandangan yang lebih tepat.

“Jika saya boleh cadangkan kepada Menteri Digital (Gobind Singh Deo), semua kerajaan negeri perlu diwakili dalam pasukan petugas ini supaya kita dapat bekerjasama, membuat perancangan lebih baik dan menilai jumlah sebenar pusat data yang diperlukan di seluruh negara bagi mencapai cita-cita Malaysia menjadi negara AI menjelang 2030,” katanya pada satu acara semalam.

Sementara itu, Sze Han berkata Malaysia menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan dalam pembangunan kecerdasan buatan (AI) menerusi pelbagai inisiatif diperkenalkan Kementerian Digital.

Beliau turut berkata program bagi menggalakkan penggunaan AI menerima sambutan positif daripada pemain industri dan orang ramai.

“Saya nampak ada perkembangan dan Kementerian Digital juga telah melancarkan pelbagai inisiatif berkaitan AI. Saya rasa maklum balas diterima juga agak positif,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.