RMS teruja dengar penerangan murid mengenai Galeri Geopark SK Dusun Tua

13 Mei 2026, 5:20 AM
RMS teruja dengar penerangan murid mengenai Galeri Geopark SK Dusun Tua
RMS teruja dengar penerangan murid mengenai Galeri Geopark SK Dusun Tua
RMS teruja dengar penerangan murid mengenai Galeri Geopark SK Dusun Tua
RMS teruja dengar penerangan murid mengenai Galeri Geopark SK Dusun Tua

HULU LANGAT, 13 MEI: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melawat Galeri Geopark di Sekolah Kebangsaan (SK) Dusun Tua sempena Jelajah Gagasan Rumpun Selangor (GRS) 2.0 hari ini.

Galeri berkenaan mengetengahkan warisan fenomena mata air panas di Hulu Langat sebagai antara elemen penting dalam Geopark Gombak-Hulu Langat, selain menjadi medium pendidikan alam sekitar kepada murid sekolah.

Dalam lawatan kira-kira 30 minit itu, Baginda turut berkenan mendengar penerangan daripada murid SK Dusun Tua mengenai program Geopark dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Selesai lawatan itu, Baginda kemudian berkenan bersarapan bersama murid serta guru di kantin sekolah.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan bersarapan pagi bersama kepimpinan dan masyarakat setempat sempena program Gagasan Rumpun Selangor (GRS) 2.0 di Sekolah Kebangsaan (SK) Dusun Tua, Hulu Langat pada 13 Mei 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Guru Penyelaras Galeri Geopark SK Dusun Tua Mohd Raif Zainuddin berkata program berkenaan dilaksanakan sejak 2023 dengan penglibatan dua lagi sekolah iaitu SK Batu Arang dan SK Taman Melawati 2.

“SK Dusun Tua memfokuskan kepada kejadian mata air panas di Hulu Langat sebagai warisan Geopark selain memberi pendedahan kepada murid mengenai kepentingan warisan alam sekitar.

“Semua hasil pameran dan penerangan di galeri ini turut melibatkan penglibatan aktif murid dengan bimbingan guru,” katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan.

Menurut beliau, galeri Geopark kekal dan laman khas itu dibangunkan hasil sumbangan RM15,000 daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 2024 bagi tujuan pendidikan dan pameran.

Guru Penyelaras Galeri Geopark Sekolah Kebangsaan (SK) Dusun Tua Mohd Raif Zainuddin. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Mohd Raif berkata Tourism Selangor bersama jawatankuasa Geopark dijadual mengadakan lawatan penilaian akhir pada Oktober depan sebelum laporan dihantar bagi proses pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Pada 5 Mei lalu, Tengku Amir Shah memulakan jelajah GRS 2.0 menerusi lawatan ke projek angkat Denai Hijau @ Lengkok Golf SS7 di Kelana Jaya.

Projek berkenaan melibatkan pembinaan laluan pejalan kaki sepanjang 400 meter serta kemudahan riadah, yang akan dinaik taraf sebagai koridor hijau untuk kegunaan dan keselesaan orang awam.

Sebelum ini, EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail memaklumkan GRS 2.0 bakal memperkenalkan projek angkat melibatkan pembinaan baharu, baik pulih dan penyelenggaraan infrastruktur, dengan tumpuan kepada mengenal pasti kemudahan rosak sekali gus menjamin keselamatan orang ramai.

GRS diperkenalkan bagi memperkukuh semangat perpaduan dan sistem kemasyarakatan di Selangor.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.