HULU LANGAT, 13 MEI: Pemilihan Air Terjun Sungai Gabai sebagai projek angkat sempena penganjuran program Gagasan Rumpun Selangor (GRS) 2.0 dijangka mampu membantu penduduk setempat menjana semula pendapatan menerusi sektor pelancongan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua Datuk Johan Abd Aziz berkata, beliau menjunjung kasih atas keprihatinan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor yang berkenan meninjau kawasan itu hari ini bagi melihat sendiri potensi pembangunan semula lokasi pelancongan popular berkenaan.
Menurut Johan, sebelum tragedi kepala air pada 2021, Air Terjun Sungai Gabai sering menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara kerana keindahan alam semula jadinya.
“Kawasan ini akan dibaik pulih secara berfasa dan dibuka semula. Insya-Allah dalam waktu terdekat, Sungai Gabai akan berubah wajah.
“Bila dah dibaik pulih ia beri peluang kepada penduduk setempat, peniaga kembali beroperasi. Kita harap projek baik pulih ini turut merangkumi kemudahan asas termasuk parkir kenderaan,” katanya.

Air Terjun Sungai Gabai mempunyai 12 tingkat dengan 336 anak tangga menuju ke puncak, manakala kawasan perkelahannya dikelilingi batu-batu besar dan ruang yang agak terhad.
Terdahulu, Tengku Amir Shah meluangkan masa kira-kira 30 minit meninjau kawasan Air Terjun Sungai Gabai yang turut diwartakan sebagai kawasan Geopark Gombak-Hulu Langat.
Baginda diiringi EXCO Perpaduan Dato’ Rizam Ismail dan EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin.
Sebelum itu, Baginda turut berkenan melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Dusun Tua dan bersarapan bersama murid serta guru di kantin sekolah.
Baginda kemudian berangkat ke Kilang Bahulu Classiq di Kampung Jawa, Batu 18 dan menyaksikan penyerahan sumbangan RM20,000 bagi pembelian barangan perniagaan kepada pemilik Bahulu Classiq, Nur Adeeba Ibrahim.











