Himpunan Daulat Tuanku diharap berlangsung aman, pejabat MB sedia makanan, minuman

12 Mei 2026, 5:12 AM
Himpunan Daulat Tuanku diharap berlangsung aman, pejabat MB sedia makanan, minuman

SHAH ALAM, 12 MEI: Pejabat Menteri Besar Selangor akan menyediakan makanan dan minuman kepada peserta yang menghadiri Himpunan Daulat Tuanku yang dirancang diadakan Sabtu ini.

EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Setiausaha Politik Dato' Menteri Besar, Saifuddin Shafi Muhammad.

“Saya turut dimaklumkan oleh Setiausaha Politik Dato' Menteri Besar Selangor saudara Saifuddin Shafi Muhammad, pihak Pejabat Menteri Besar akan menyediakan makanan dan minuman kepada mereka yang hadir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menyambut baik objektif perhimpunan itu yang juga selaras dengan pendirian konsisten Kerajaan Negeri dalam mempertahankan agama Islam, kepentingan Melayu dan kedaulatan institusi diraja di Selangor.

Dalam pada itu, Mohd Najwan berharap himpunan berkenaan dapat berlangsung secara aman, tertib dan tidak mengganggu ketenteraman awam.

"Saya telah berhubung dengan Ketua Polis Selangor dan memohon pihak polis memudahcara himpunan ini agar berjalan dalam keadaan selamat dan terkawal," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.