KPDN Selangor rekod denda RM200,000, kes barang tiruan tertinggi 2026

12 Mei 2026, 4:45 AM
KPDN Selangor rekod denda RM200,000, kes barang tiruan tertinggi 2026
KPDN Selangor rekod denda RM200,000, kes barang tiruan tertinggi 2026

SHAH ALAM, 12 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor berjaya menyelesaikan pendakwaan terhadap seorang lelaki tempatan berhubung kes urus niaga barangan tiruan sehingga dijatuhi hukuman denda RM200,000 di Mahkamah Sesyen Jenayah Sepang, semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Muhamad Hanif Asa'ari berkata, lelaki berusia 30-an itu didapati menjalankan urus niaga menjual pelbagai barangan termasuk pakaian, selipar, topi dan tali pinggang menggunakan cap dagangan tanpa kebenaran pemilik berdaftar.

Menurutnya, prosiding kes dijalankan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman dengan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hasim bersama Pegawai Pendakwa KPDN Selangor, Khairul Affandi Md Jani.

Tujuh pertuduhan dibacakan terhadap Orang Kena Saman (OKS) membabitkan aktiviti urus niaga barangan tiruan menggunakan cap dagangan terkenal secara tidak sah.

"Kes ini adalah kes pertama tahun ini yang membawa kepada nilai denda tertinggi di bawah kesalahan Akta Cap Dagangan 2019 bagi tahun 2026.

"OKS mengaku salah atas semua pertuduhan selepas mahkamah dimaklumkan bahawa kesalahan dilakukan pada 21 April 2022 di sebuah premis di Telok Panglima Garang, Kuala Langat," menurut kenyataan itu lagi.

Berdasarkan fakta kes, premis terbabit didapati menyimpan dan mengawal pelbagai aksesori pakaian yang dipakaikan cap dagangan berdaftar secara salah tanpa kebenaran pemilik sah.

Susulan pengakuan bersalah itu, mahkamah menjatuhkan hukuman denda keseluruhan RM200,000 dan enam bulan penjara jika gagal membayar denda.

Bagaimanapun, OKS dilaporkan menjelaskan keseluruhan denda pada hari sama di mahkamah.

KPDN Selangor memaklumkan kes terbabit merupakan kes pertama pada tahun ini yang merekodkan nilai denda tertinggi di bawah Akta Cap Dagangan 2019 bagi tahun 2026.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019 atas kesalahan di bawah Seksyen 102(1)(c) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102(1)(ii) akta sama, yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000 bagi setiap barang atau penjara maksimum tiga tahun bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, pesalah boleh didenda sehingga RM20,000 bagi setiap barang atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

KPDN Selangor di bawah Kempen Kita Gempur mempergiatkan operasi penguatkuasaan dan tindakan bagi memastikan pematuhan undang-undang.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.