SHAH ALAM, 7 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor melumpuhkan kegiatan penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dalam serbuan di sebuah ladang kelapa sawit di Tanjung Sepat, semalam.
Pengarahnya, Muhamad Hanif Asa’ari berkata serbuan ke atas sebuah premis tanpa nombor di Jalan Tok Mori itu dilakukan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) dengan kerjasama Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor kira-kira jam 3 petang.
Menurut beliau, operasi berkenaan dijalankan hasil risikan selama sebulan dan ketika serbuan pihaknya menemukan dua lelaki bukan warganegara berusia bawah 30 tahun sedang menjalankan aktiviti penyelewengan LPG.
"Ketika pemeriksaan kedua-dua mereka sedang menjalankan aktiviti ‘decanting’ iaitu memindahkan LPG subsidi 14 kilogram (kg) ke tong gas komersial 50kg.
“KPDN Selangor mengesyaki aktiviti di premis ini menjual LPG 50kg yang berisi LPG bersubsidi kepada pihak industri dengan harga lebih rendah berbanding harga sebenar mengikut pasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata dua suspek terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan awal berhubung kegiatan berkenaan.

"Operasi ini berjaya melumpuhkan ketirisan subsidi LPG negara yang dianggarkan bernilai RM750,000 sepanjang tempoh sebulan sindiket terbabit beroperasi di lokasi berkenaan," katanya.
Menurut Muhamad Hanif, pasukan serbuan turut menemui hos penyambung, alat timbang pelantar dan beberapa bungkusan ais yang dipercayai digunakan dalam proses pemindahan gas menggunakan teknik konvensional.
"Siasatan awal mendapati bekalan LPG subsidi dipercayai diperoleh daripada pemborong berlesen sekitar Banting, Tanjung Sepat dan Sungai Pelek.
“Berdasarkan maklumat awal ini, KPDN Selangor akan memfokuskan siasatan rantaian pembekalan yang membawa kepada aktiviti tidak bertanggungjawab ini berlaku,” katanya.
Dalam operasi sama, beliau berkata lebih 250 tong LPG pelbagai jenama membabitkan kapasiti 14kg dan 50kg dengan anggaran berat mencecah 3,000kg disita selain alat timbang pelantar.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM400,000.
Tambah beliau, kertas siasatan akan dibuka dan siasatan lanjut dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat termasuk rantaian pengedaran LPG terbabit.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 21 AKB 1961, dibaca bersama dengan Peraturan 3(1) iaitu memiliki barang kawalan dengan menimbulkan syak yang munasabah akan melakukan kesalahan dengan berurus niaga barangan kawalan tanpa lesen sah," katanya.









