SHAH ALAM, 10 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin menyeru masyarakat menghargai pengorbanan ibu yang juga tiang seri keluarga.
Bertitah sempena Hari Ibu, Baginda menekankan pengorbanan ibu tidak mampu dinilai dengan harta benda mahupun kata-kata dalam membesarkan, mendidik dan mendoakan anak-anak tanpa penat dan lelah.
“Dengan penuh kasih sayang, para ibu membesarkan anak-anak, mendidik dengan sabar serta menjadi sumber kekuatan dan doa yang tidak pernah putus buat keluarga,” menurut kenyataan Selangor Royal Office di Facebook.
Baginda turut menzahirkan ucapan Selamat Hari Ibu dan mendoakan golongan berkenaan dikurniakan kesihatan yang baik, ketenangan jiwa dan kebahagiaan berpanjangan bersama keluarga tercinta.
Baginda turut berharap sambutan itu menjadi detik penting untuk setiap anak menghargai jasa ibu yang mencurahkan kasih sayang serta pengorbanan tanpa batas demi membesarkan generasi masa depan.
Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menzahirkan penghargaan kepada semua ibu , selain menyifatkan golongan itu sebagai tunjang keluarga dan pembentuk generasi masa depan.
Beliau berkata jasa dan pengorbanan seorang ibu amat besar dalam membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang, doa serta ketabahan meskipun berdepan pelbagai cabaran kehidupan.
Sambutan Hari Ibu diraikan di seluruh dunia pada 10 Mei setiap tahun. Tahun ini, sambutan itu bertemakan “Seteguh Kasih Ibu”, yang mengangkat ketabahan, kasih sayang dan pengorbanan mereka yang tidak ternilai.









