MB rai pengembara solo tamat jelajah 109 negara naik motosikal

10 Mei 2026, 1:00 PM
MB rai pengembara solo tamat jelajah 109 negara naik motosikal
MB rai pengembara solo tamat jelajah 109 negara naik motosikal

SHAH ALAM, 10 MEI: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari meraikan pengembara solo, Katiravan Subarayan yang berjaya menamatkan jelajah ke 109 negara dalam tempoh 1,223 hari.

Majlis penghargaan itu berlangsung di Dewan Rakyat Batu Caves petang semalam dan turut dihadiri Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan, Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai serta beberapa pemimpin lain.

Katiravan, 65, menjelajah dunia dengan menunggang motosikal BMW R1200 GS Adventure yang diberi nama “Parameswara”, sambil membawa misi mempromosikan Malaysia dan meningkatkan kesedaran terhadap isu alam sekitar.

“Pengembaraan beliau membawa misi besar untuk meningkatkan kesedaran terhadap isu alam sekitar di samping mempromosikan tanah air tercinta di mata dunia,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Menurut Amirudin, usaha Katiravan dalam menyebarkan kesedaran mengenai pemanasan global serta memperkenalkan keindahan Malaysia wajar diberi penghargaan.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari meraikan pengembara solo, Katiravan Subarayan yang berjaya menamatkan misi jelajah ke 109 negara dalam tempoh 1,223 hari. Foto Facebook Amirudin Shari

Beliau berkata inisiatif itu bukan sahaja membuka mata masyarakat antarabangsa terhadap keunikan negara, malah turut membawa mesej perubahan positif kepada dunia.

“Semoga kecekalan, keberanian dan iltizam yang ditunjukkan Katiravan menjadi inspirasi kepada anak-anak muda untuk terus berani bermimpi, mencabar batas kemampuan diri dan membawa nama Malaysia dengan penuh bangga ke persada antarabangsa,” katanya.

Pesara juruelektrik itu memulakan pengembaraan berkenaan pada awal Januari 2023 dengan motosikal berkuasa besar miliknya.

Kementerian Luar memaklumkan setakat ini, beliau telah menanam 186 pokok di seluruh dunia dan berjaya mempromosikan Malaysia kepada 5,426 individu di peringkat antarabangsa.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.