Rumah dipecah masuk, barang kemas, jam tangan RM800,000 lesap

9 Mei 2026, 9:12 AM
Rumah dipecah masuk, barang kemas, jam tangan RM800,000 lesap

SHAH ALAM, 9 MEI: Barang kemas dan jam tangan dianggarkan bernilai RM800,000 dilaporkan hilang selepas sebuah rumah di Taman Melawati, Kuala Lumpur dipecah masuk malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata pemilik rumah menyedari kejadian itu selepas tiba di kediamannya kira-kira jam 11.30 malam sebelum mendapati ruang tamu dan beberapa bilik dalam keadaan berselerak.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati pintu belakang rumah mempunyai kesan umpilan dipercayai dipecah masuk.

“Suspek dipercayai masuk melalui pintu belakang dengan cara mengumpil gril dan pintu rumah sebelum menggeledah beberapa bahagian dalam kediaman,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

Beliau berkata beberapa barang kemas dan jam tangan dipercayai hilang dengan jumlah kerugian dianggarkan RM800,000.

Menurutnya, polis turut menemui tiga kesan cap jari di lokasi kejadian bagi membantu siasatan lanjut.

“Siasatan diteruskan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.