Projek sewa buat penduduk setinggan dan peneroka, miliki rumah mulai Januari

12 Nov 2026, 2:00 AM
Projek sewa buat penduduk setinggan dan peneroka, miliki rumah mulai Januari

SHAH ALAM, 12 NOV: Projek perintis Skim Selangorku To Ownership (S2-Own) yang menyediakan konsep sewa sebelum pemilikan rumah dijadual bermula Januari tahun depan di Pangsapuri Rima Riang, Petaling Jaya.

Menurut pemangku pengarah eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Mohd Hafiz Hassan seramai 44 peserta dari kalangan penduduk setinggan dan peneroka dikenal pasti terlibat dalam projek tersebut.

Beliau menjelaskan S2-Own membantu golongan yang berkemampuan membuat bayaran bulanan tetapi berdepan kesukaran untuk memperoleh pembiayaan daripada institusi kewangan.

“Golongan yang kita hendak bantu ini adalah mereka yang tidak boleh buat pinjaman, contohnya pendapatan tidak tetap, tiada slip gaji dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Bagaimanapun, kita akan lihat terlebih dahulu kepada kejayaan projek perintis yang dibuat pada Januari 2027 di Pangsapuri Rima Riang, Petaling Jaya,” katanya kepada Media Selangor.

Mohd Hafiz memberitahu tempoh keseluruhan skim berkenaan boleh mencecah maksimum 15 tahun, bergantung kepada mekanisme dan kemampuan peserta.

“Jika ia hanya sewa, tidak berbaloi. Tetapi ini sewa untuk memiliki. Kita buat skim baharu, mereka sewa dahulu sebelum kita beralih kepada S2-Own,” katanya lagi.

Beliau berkata mana-mana peserta yang memperoleh pembiayaan lebih awal boleh beralih kepada pembelian rumah tanpa perlu menunggu skim tersebut tamat tempoh.

“Keutamaan kita adalah orang yang tidak mampu buat pinjaman. Sekiranya berjaya daripada projek perintis ini, kita boleh perluaskan kepada yang lain,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.