SHAH ALAM, 8 MEI: Seramai 11 pendaki yang terperangkap di dalam terowong akibat arus sungai deras di Sungai Pisang Waterfall Trailhead, Batu Caves berjaya diselamatkan petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.11 petang
“Mereka terperangkap selepas laluan untuk menyeberang sungai terhalang akibat arus deras. Sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang digerakkan ke lokasi kejadian.
“Komander operasi melaporkan sebaik tiba di lokasi, 11 pendaki terdiri daripada lima lelaki dan enam perempuan didapati terperangkap akibat arus sungai deras, namun kesemua mereka berjaya ditemui dalam keadaan selamat pada jam 5.15 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Mukhlis, pasukan bomba menggunakan tali penyelamatan serta Personal Flotation Device (PFD) bagi membantu proses pemindahan mangsa ke kawasan yang lebih selamat dengan keadaan terkawal.
Beliau berkata operasi seterusnya ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.02 malam selepas semua mangsa disahkan berada dalam keadaan selamat serta tiada lagi risiko bahaya di lokasi kejadian.
Dalam pada itu, pasukan bomba turut menjalankan pemeriksaan di sekitar kawasan kejadian bagi memastikan tiada lagi unsur bahaya yang boleh mengancam keselamatan pendaki lain sebelum operasi ditamatkan.








