SHAH ALAM, 8 MEI: Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM8 juta bagi pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah seluruh negara secara berfasa bagi memperkukuh keselamatan institusi pendidikan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan keselamatan warga sekolah sentiasa terjamin.
Menurutnya, sebahagian sekolah telah mula dilengkapi sistem CCTV, manakala selebihnya sedang dalam perancangan pelaksanaan, lapor Berita RTM.
“Setakat ini kira-kira RM8 juta telah dibelanjakan dan usaha ini akan diteruskan secara berperingkat bagi memastikan pemantauan keselamatan lebih menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Tindak Susul Parlimen (TSP) Siri 1 di Sekolah Kebangsaan Limpaku Pinang, Limbang, Sarawak hari ini.
Dalam perkembangan sama, Fadhlina memaklumkan sekolah berkenaan menerima peruntukan RM272,875.50 bagi kerja penyelenggaraan kuarters guru, penambahbaikan prasekolah serta menaik taraf tangki air.
Katanya, langkah itu bertujuan memastikan persekitaran pembelajaran lebih selesa dan kondusif kepada guru serta murid.
Selain itu, sebuah papan pintar (smartboard) sumbangan Yayasan Guru Tun Hussein Onn serta 20 unit tablet daripada Yayasan Didik Negara turut diserahkan bagi menyokong agenda pendigitalan pendidikan.
Beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan RM10,000 di bawah Program Sokongan Profesional Dasar Pendidikan Digital.
Pada majlis sama, sebanyak 33 set bantuan persekolahan turut disalurkan kepada murid yang memerlukan.








