Projek tebatan banjir tunjuk hasil, kawasan berisiko bah di DUN Batu Tiga berkurang

8 Mei 2026, 4:35 AM
Projek tebatan banjir tunjuk hasil, kawasan berisiko bah di DUN Batu Tiga berkurang

SHAH ALAM, 8 MEI: Pelaksanaan projek tebatan dan mitigasi banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga mula menunjukkan hasil positif apabila jumlah kawasan berisiko bah berjaya dikurangkan daripada sembilan kepada empat lokasi.

Wakil rakyatnya, Danial Al-Rashid Haron berkata perkembangan itu membuktikan keberkesanan pelbagai projek tebatan yang dilaksanakan secara berperingkat sejak beberapa tahun lalu.

“Dulu kita ada sembilan hotspot banjir, sekarang tinggal empat sahaja. Malah ketika banjir semasa Tahun Baharu Cina lalu, hanya satu kawasan terjejas iaitu di Taman Rashna di Klang," katanya kepada Media Selangor.

Menurutnya, empat kawasan yang masih dikenal pasti sebagai lokasi berisiko banjir ialah Kampung Kebun Bunga di Batu Tiga, Padang Jawa, Taman Rashna dan Seksyen 24.

Beliau berkata pelbagai projek pencegahan sedang dilaksanakan termasuk pembinaan kunci air serta projek tebatan jangka panjang bagi mengurangkan risiko bah di kawasan terlibat.

Katanya, antara projek utama yang sedang berjalan ialah sistem tebatan banjir di Seksyen 24 membabitkan pemasangan Schematic Precast System (SPS) di Sungai Klang menggunakan teknologi dari Indonesia.

“Ia melibatkan jajaran sepanjang tiga kilometer dari Seksyen 24 sampai Padang Jawa. Sedang projek itu dijalankan pun tidak berlaku banjir. Pada saya ia memang membantu,” katanya.

Sebelum ini, EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim memaklumkan sebanyak 19 lagi projek tebatan banjir dijangka siap tahun ini bagi memperkukuh usaha mitigasi banjir di seluruh negeri.

Menurut beliau, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada 134 projek yang dirancang di bawah Rancangan Selangor dan Rancangan Malaysia.

Izham turut memaklumkan sebanyak RM5.74 bilion diperuntukkan bagi melaksanakan projek tebatan banjir di seluruh Selangor bagi tempoh 2021 hingga 2030.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.