MB seru mahasiswa Selangor luar negara jadi ejen perubahan masa depan negeri 

8 Mei 2026, 3:00 AM
MB seru mahasiswa Selangor luar negara jadi ejen perubahan masa depan negeri 
MB seru mahasiswa Selangor luar negara jadi ejen perubahan masa depan negeri 
MB seru mahasiswa Selangor luar negara jadi ejen perubahan masa depan negeri 

SYDNEY, 8 MEI: Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari menyeru mahasiswa Selangor di luar negara agar tampil sebagai ejen perubahan yang mampu membawa suara serta aspirasi negeri ke peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, peranan golongan mahasiswa perlu terus diperkasa melalui program pembangunan kepimpinan, termasuk perkongsian idea dan ilmu seperti yang diketengahkan menerusi Konvensyen Mahasiswa Selangor.

“Konvensyen seperti ini merupakan platform yang sangat strategik untuk menghimpunkan mahasiswa bagi memperkukuh jaringan, perkongsian ilmu serta pembangunan kepimpinan.

“Penganjurannya juga wadah menyatukan idea selain mengukuhkan jati diri dan memperkasa peranan mahasiswa sebagai ejen perubahan yang membawa suara negeri ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Mahasiswa Selangor Luar Negara Australia (KOMSEL) 2026 melalui rakaman yang disiarkan pada majlis di ParkRoyal Darling Harbour, di sini malam tadi.

Program itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop; Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor, Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree.

Berlangsung selama empat hari bermula semalam hingga 10 Mei, konvensyen bertemakan ‘Inovator Muda Mencorak Masa Depan Malaysia’ itu menghimpunkan lebih 140 mahasiswa dari 12 universiti di empat negeri di Australia.

Antara pengisian program termasuk sesi perkongsian Yayasan MBI, Dialog Masa Depan Selangor, Seminar Inovasi, Syarahan Kebangsaan, pembentangan cabaran inovator muda serta kursus Google anjuran Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC).

Sementara itu, wakil pelajar Muhammad Izz Aniq Mohammad Fariz memuji semangat kebersamaan pelajar Malaysia di Australia dalam menjayakan program tersebut yang disifatkan sebagai luar biasa.

“Lebih membanggakan, sekitar 82 peratus daripada peserta yang hadir merupakan anak Selangor, sekali gus membuktikan semangat anak-anak Selangor untuk mengubah dan membina masa depan negeri masih kuat walau jauh di perantauan,” katanya.

Edisi kelima KOMSEL kali ini diadakan di Australia selepas siri sebelum ini di Jordan dan Mesir untuk menyantuni lebih ramai pelajar Selangor di luar negara.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.