Ribut Seksyen 24: LPHS salur RM259,740 baik pulih 17 rumah terjejas

7 Mei 2026, 8:36 AM
Ribut Seksyen 24: LPHS salur RM259,740 baik pulih 17 rumah terjejas

SHAH ALAM, 7 MEI: Kerja baik pulih bumbung membabitkan 17 unit rumah di Pangsapuri Kos Rendah Blok 84, Seksyen 24 di sini yang terjejas akibat ribut pada 25 April lalu, kini sedang giat dilaksanakan menerusi peruntukan kecemasan berjumlah RM259,740.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga berkata bantuan daripada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) itu memberi kelegaan kepada penduduk yang sebahagiannya masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Dahlia, Seksyen 24.

Menurut Danial Al-Rashid Haron, kerja pembaikan melibatkan bumbung, siling dan sistem elektrik dilaksanakan secara berperingkat mengikut unit kediaman yang terjejas.

ADN Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Sebelum ini saya ada bertemu dengan Datuk Borhan Aman Shah (EXCO Perumahan) mengenai isu ini, dan beliau membantu mendapatkan peruntukan kecemasan daripada LPHS.

“Kerja baik pulih dijangka mengambil masa sekitar enam hingga lapan minggu, namun saya minta ia dapat disiapkan lebih awal memandangkan masih ada mangsa yang berada di PPS,” katanya kepada Media Selangor.

Kerja baik pulih bumbung di Pangsapuri Kos Rendah Blok 84, Seksyen 24 Shah Alam yang terjejas akibat ribut pada 25 April 2026. Foto Facebook Danial Al Rashid

Dalam kejadian ribut pada 25 April lalu, bumbung beberapa blok kediaman di kawasan itu diterbangkan angin kuat selain turut menyebabkan kerosakan harta benda termasuk kenderaan.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.