280 laporan polis diterima berhubung karikatur hina Sultan Selangor

4 Mei 2026, 1:42 AM
280 laporan polis diterima berhubung karikatur hina Sultan Selangor

SHAH ALAM, 4 MEI: Sebanyak 280 laporan polis diterima setakat semalam berhubung penularan satu karikatur di media sosial yang mengandungi unsur penghinaan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 25 April lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata laporan itu dibuat oleh pelbagai pihak dari seluruh negara sebagai reaksi terhadap tindakan provokasi melampau berkenaan.

“Siasatan kini dijalankan di bawah rujukan Bandar Kinrara RPT: 4809/26, dan diklasifikasikan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Fokus utama siasatan yang sedang giat dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) adalah untuk mengesan serta menangkap pelaku yang bertanggungjawab dalam mencemar kedaulatan institusi diraja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shazeli turut menasihati orang ramai supaya menyerahkan sepenuhnya proses siasatan kepada pihak berkuasa dan tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi yang boleh mengganggu perjalanan kes.

Beliau berkata sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Sebelum ini, beberapa pihak termasuk Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari, EXCO Kerajaan Negeri serta badan bukan kerajaan tampil menggesa PDRM dan SKMM mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat dalam penyebaran hantaran berunsur penghinaan itu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.