Lebih 75,000 keluarga asnaf dibantu, 2,800 keluar daripada kemiskinan

6 Mei 2026, 9:23 AM
Lebih 75,000 keluarga asnaf dibantu, 2,800 keluar daripada kemiskinan
Lebih 75,000 keluarga asnaf dibantu, 2,800 keluar daripada kemiskinan

SHAH ALAM, 6 MEI: Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) menyantuni lebih 75,000 keluarga asnaf fakir dan miskin tahun lalu, dengan lebih 60 peratus agihan disalurkan kepada golongan berkenaan.

Menerusi kenyataan Selangor Royal Office, lebih 2,800 keluarga fakir dan miskin pula berjaya keluar daripada kitaran kemiskinan hasil intervensi berterusan yang dilaksanakan.

Kenyataan itu turut menyebut Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mahu agihan zakat ditumpukan kepada bantuan asas seperti kewangan bulanan, makanan, perumahan dan sokongan pendidikan.

"Baginda juga berharap Zakat Selangor akan terus melaksanakan amanah kutipan dan agihan zakat secara bertanggungjawab, telus dan berintegriti selaras tuntutan syariat Islam," menurut kenyataan itu di Facebook.

Dalam pada itu, Baginda turut menzahirkan sukacita dengan data terbaharu Zakat Selangor yang menunjukkan jumlah agihan zakat kepada penerima berhak mencapai RM1.33 bilion tahun lalu.

Prestasi memberangsangkan itu disokong jumlah kutipan zakat berjumlah RM1.31 bilion, termasuk usaha memperkukuh proses penilaian, pengesanan dan peluasan capaian bantuan kepada keluarga layak.

Sementara itu, Baginda berharap tiada pihak yang salah faham atau keliru dengan kenyataan yang mendakwa tiada lagi kemiskinan tegar di Selangor sehingga boleh menjejaskan jumlah kutipan zakat.

Miskin tegar merujuk kepada isi rumah yang mempunyai pendapatan bawah paras minimum sehingga tidak mampu memenuhi keperluan asas harian, termasuk makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Di Selangor, kategori itu lazimnya merujuk kepada pendapatan isi rumah bawah kira-kira RM1,274 sebulan berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) makanan yang ditetapkan kerajaan.

Berbeza dengan kategori asnaf fakir dan miskin, kelompok tersebut ditentukan berdasarkan hukum syarak serta pengiraan had kifayah oleh Zakat Selangor.

Asnaf fakir merujuk kepada golongan yang hampir tiada pendapatan atau tidak mampu menampung keperluan asas kehidupan, manakala asnaf miskin pula mempunyai pendapatan tetapi tidak mencukupi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.