SHAH ALAM, 31 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj kini gering akibat dijangkiti virus Influenza A sejak semalam.
Menurut doktor peribadi Baginda, Dato Setia Dr Anuar Onah dan Dato Setia Dr Tan Hui Meng, gejala jangkitan mula dikesan pada pagi semalam apabila Baginda mengalami demam panas yang tinggi serta lemah anggota badan.
Berdasarkan penilaian kedua-dua doktor itu, Baginda berkemungkinan dijangkiti virus berkenaan ketika menghadiri majlis keramaian dan berinteraksi dengan orang ramai, termasuk di kawasan terbuka.
"Keadaan kesihatan Baginda kini beransur pulih, namun masih mengalami demam dan memerlukan rehat secukupnya.
"Sehubungan itu, doktor menasihatkan Baginda supaya berehat dan tidak menghadiri sebarang majlis bagi tempoh lima hingga tujuh hari bagi membolehkan Baginda pulih sepenuhnya," menurut kenyataan di Facebook Selangor Royal Office.
Susulan perkembangan kesihatan Baginda, Istiadat Menjunjung Duli dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan DYMM Sultan Selangor yang dijadualkan berlangsung esok ditangguhkan.
Kedua-dua istiadat yang sepatutnya berlangsung pada Ahad, 1 November 2026 itu dijadualkan semula pada Sabtu, 7 November 2026.
“Semua pihak yang terlibat dimohon mengambil maklum mengenai perubahan tarikh tersebut. Kerjasama dan perhatian semua pihak amat dihargai.
"Marilah kita bersama-sama mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kesembuhan segera kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor serta melimpahkan kesihatan dan kesejahteraan yang berpanjangan kepada Baginda," menurut kenyataan berkenaan.







