SHAH ALAM, 8 SEPT: “Saya kalau boleh, nak cepat-cepat keluar asnaf. Mahu bayar zakat pula!”
Itu tekad seorang penerima zakat yang hanya mahu dikenali sebagai Azlina, seperti dikongsikan Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) menerusi Facebook mengenai keazamannya untuk kembali berdikari dan suatu hari nanti menjadi pembayar zakat.
Menurut Zakat Selangor, Azlina gigih menjana pendapatan menerusi jualan di media sosial dengan membuat siaran langsung dan berkongsi promosi hampir setiap hari.
Usaha berkenaan dilakukan bagi menampung keperluan keluarga termasuk perbelanjaan harian serta barangan kesihatan untuk dirinya, suami dan ibu.
Azlina mengalami kecederaan saraf tunjang atau Spinal Cord Injury yang menyebabkan beliau sentiasa berdepan kesakitan, manakala suaminya turut terlantar akibat masalah kesihatan sama.
Antara keperluan yang perlu ditanggung termasuk susu khas, kit penjagaan luka dan barangan kesihatan lain untuk mereka sekeluarga.
Zakat Selangor memaklumkan pihaknya menerusi Zakat Selangor Daerah Gombak baru-baru ini menziarahi Azlina sekeluarga bagi melihat keperluan bantuan perubatan yang diperlukan.
Kunjungan itu diketuai Mohd Helmi Mohd Nuri bersama Dr Azmyza Azmy dan Aliff Basri dari Jabatan Pengurusan Sosial dan Kebajikan Zakat Selangor.
Menurut Zakat Selangor, pihaknya komited memastikan keperluan asas keluarga berkenaan serta bantuan perubatan, termasuk kos pembedahan yang akan dijalani suami Azlina, dapat disalurkan dengan lancar.
Dalam perkongsian itu, Zakat Selangor menyifatkan Azlina sebagai asnaf yang berpotensi untuk keluar daripada status berkenaan sekiranya dikurniakan kesihatan yang baik dan dipermudahkan urusan menjaga suami serta ibunya.
Sikap positif Azlina dipercayai turut dipengaruhi pengalaman beliau yang pernah bertugas sebagai pegawai rehabilitasi.
Keazaman Azlina untuk keluar daripada status asnaf dan menjadi pembayar zakat mencerminkan harapannya untuk kembali berdikari meskipun berdepan cabaran kesihatan serta tanggungjawab terhadap keluarganya.









