Anggota polis didakwa terima ‘duit kopi’ ditukar ke bahagian pentadbiran

6 Mei 2026, 12:00 AM
Anggota polis didakwa terima ‘duit kopi’ ditukar ke bahagian pentadbiran

SHAH ALAM, 6 MEI: Anggota polis yang didakwa mengambil ‘duit kopi’ daripada seorang lelaki seperti yang tular di media sosial baru-baru ini, ditukarkan ke bahagian pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh sementara menunggu hasil siasatan lanjut.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata kes itu telah dirujuk kepada Bukit Aman selepas Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri selesai menjalankan siasatan penuh terhadap anggota tersebut, lapor Berita Harian.

“Hasil siasatan kita sudah diserahkan kepada Bukit Aman untuk arahan lanjut sebab ada beberapa bukti yang kita temui daripada hasil siasatan pada peringkat Polis Kontinjen Perak. Jadi, kita menunggu arahan lanjut daripada Bukit Aman.

"Siasatan kita tengok dari beberapa sudut, terutama pelanggaran tatatertib dan prosedur operasi standard (SOP) Unit Kereta Peronda (MPV), khususnya dalam menyelesaikan kesalahan berkaitan trafik

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Module On The Current Trends Of Commercial Crimes sempena Karnival Pintar Siber Universiti Teknologi Petronas 2026 di sini semalam.

Sebelum ini, tular video berdurasi 46 saat menunjukkan seorang anggota polis yang dirakam dari jauh, dilihat menerima wang daripada seorang lelaki yang ditahan di kawasan tepi jalan raya.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah, dipetik berkata pihaknya menjalankan siasatan dalaman terhadap dakwaan tular melalui Facebook berkenaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.