Geran Tahun Melawat Selangor 2026 dibuka, pacu sektor pelancongan negeri

5 Mei 2026, 6:05 AM
Geran Tahun Melawat Selangor 2026 dibuka, pacu sektor pelancongan negeri
Geran Tahun Melawat Selangor 2026 dibuka, pacu sektor pelancongan negeri
Geran Tahun Melawat Selangor 2026 dibuka, pacu sektor pelancongan negeri
Geran Tahun Melawat Selangor 2026 dibuka, pacu sektor pelancongan negeri

SHAH ALAM, 5 MEI: Kerajaan Negeri membuka permohonan Geran Tahun Melawat Selangor 2026 dengan peruntukan RM600,000 bagi memperkukuh pelaksanaan kempen berkenaan.

Tourism Selangor Sdn Bhd (Tourism Selangor) memaklumkan permohonan dibuka mulai 4 Mei hingga 31 Oktober 2026 dan dijangka memanfaatkan sehingga 59 program serta acara pelancongan di seluruh negeri.

“Geran ini terbuka kepada empat kategori pemohon, iaitu syarikat dan organisasi swasta tempatan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang tidak menerima peruntukan promosi kerajaan, anak syarikat kerajaan negeri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan.

“Geran berkenaan dibahagikan kepada lima kategori: Geran Pusing Selangor Dulu (RM3,000), Geran Discover Selangor (RM5,000), Geran Splendid Selangor (RM10,000), Geran Surprising Selangor (RM15,000) dan Geran Selangor Kan Ada (RM20,000),” katanya menerusi kenyataan.

Tourism Selangor berkata pemohon perlu mengemukakan cadangan program berimpak tinggi serta berdaya saing bagi memperkasa ekosistem pelancongan negeri.

“Keutamaan akan diberikan kepada program yang memberi impak sosioekonomi di peringkat domestik melalui penglibatan pelbagai pihak, termasuk program yang dianjurkan di Selangor dengan penyertaan pelancong serta agensi antarabangsa,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pada 2025 sebanyak 30 agensi menerima geran berjumlah RM300,000 di bawah inisiatif Tahun Melawat Selangor, sekali gus menunjukkan peningkatan peruntukan tahun ini bagi merangsang pertumbuhan sektor pelancongan negeri.

“Kerajaan Negeri menyasarkan inisiatif ini dapat menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 serta memperkasa penganjuran lebih banyak program pelancongan tempatan di Selangor,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.