50 pemandu pelancong dilatih, fokus Gombak dan Hulu Langat

4 Mei 2026, 8:00 AM
50 pemandu pelancong dilatih, fokus Gombak dan Hulu Langat
50 pemandu pelancong dilatih, fokus Gombak dan Hulu Langat
50 pemandu pelancong dilatih, fokus Gombak dan Hulu Langat

SHAH ALAM, 4 MEI: Seramai 50 Hos Komuniti Setempat Selangor baharu akan menjalani latihan dan kursus lanjutan bermula bulan ini, sebelum dijangka mula bertugas pada suku ketiga tahun ini bagi mempromosikan kawasan Gombak dan Hulu Langat.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling berkata pengambilan kumpulan kedua itu ditutup pada 31 Mac lalu, dengan seramai 80 orang memohon untuk menjadi pemandu pelancong komuniti di kedua-dua kawasan berkenaan.

Menurutnya, hanya 50 peserta dipilih iaitu masing-masing 25 orang bagi Gombak dan Hulu Langat, yang akan melalui proses saringan dan temu duga sebelum mengikuti latihan secara sistematik.

Beliau berkata berbanding kumpulan pertama tahun lalu yang tertumpu di Kuala Selangor dan Sabak Bernam, pengambilan kali ini memberi fokus kepada Gombak khususnya berkaitan kawasan geopark yang memerlukan minat mendalam terhadap alam semula jadi.

“Pada awalnya kami bimbang sambutan kurang memberangsangkan, namun selepas temu duga didapati ramai pemohon mempunyai pengetahuan asas tentang alam sekitar dan kebanyakannya berasal dari komuniti setempat,” katanya kepada Media Selangor.

Menurutnya, kumpulan pertama seramai 49 pemandu pelancong komuniti telah menamatkan latihan selama tiga bulan tahun lalu dan menerima sijil kelayakan.

Latihan tersebut merangkumi empat modul utama iaitu pemetaan warisan, teknik pemanduan pelancong, perkhidmatan kepada pelawat serta pembangunan kerjaya berterusan.

Hos Komuniti Setempat Selangor memainkan peranan penting dalam mempromosikan pelancongan tempatan dengan bertindak sebagai pencerita yang memperkenalkan budaya, sejarah dan keunikan kawasan kepada pelawat.

Dalam perkembangan sama, Tourism Selangor bercadang menganjurkan dua sesi pertemuan setiap tahun bagi mendapatkan maklum balas serta memahami cabaran yang dihadapi pemandu pelancong.

Yee Ling berkata pertemuan tersebut juga menjadi platform untuk pemandu pelancong berkongsi pandangan dan cadangan bagi menambah baik kualiti perkhidmatan.

Beliau turut memaklumkan terdapat cadangan supaya lebih banyak program komuniti dianjurkan bagi menggalakkan penglibatan penduduk setempat sekali gus merangsang ekonomi tempatan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.