MAIS kecam penyebaran visual hina Sultan Selangor, gesa siasatan segera

3 Mei 2026, 6:16 AM
MAIS kecam penyebaran visual hina Sultan Selangor, gesa siasatan segera

SHAH ALAM, 3 MEI: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengecam sekeras-kerasnya penyebaran kandungan visual yang disunting dan menghina Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam negeri, yang didakwa dimuat naik melalui beberapa akaun Facebook.

Pengerusinya Dato’ Salehuddin Saidin berkata tindakan berkenaan yang dikaitkan dengan akaun Facebook “Lucas Liam” serta sebelum ini turut melibatkan akaun “Huayan The Pure Learning Centre”, disifatkan sebagai biadab, tidak bertanggungjawab dan sengaja dilakukan bagi melukakan perasaan umat Islam di Selangor.

Menurutnya, kandungan visual tersebut bukan sahaja tidak menghormati kedudukan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sebagai Ketua Agama Islam, malah mengaitkan institusi berkenaan dengan imej serta unsur yang bertentangan dengan hukum syarak dan melampaui norma masyarakat.

“MAIS percaya bahawa tindakan-tindakan tersebut dibuat dengan sengaja untuk melukakan perasaan masyarakat Islam di Selangor,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata MAIS turut menegaskan bahawa sebarang bentuk penghinaan terhadap institusi raja tidak boleh dipandang ringan kerana ia berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Sehubungan itu, MAIS menggesa pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan segera bagi memastikan pelaku dapat diheret ke muka pengadilan serta dikenakan hukuman setimpal.

Dalam pada itu, MAIS menegaskan institusi Raja-Raja Melayu merupakan tonggak perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini dan perlu terus dihormati serta dipelihara oleh semua pihak tanpa mengira bangsa dan agama.

“Justeru, semua pihak tidak kira bangsa dan agama wajib menghormati dan memelihara institusi beraja ini daripada sebarang unsur yang boleh mencemar dan menjatuhkan kedaulatannya,” katanya.

Tambah beliau, MAIS kekal komited dalam mempertahankan kedudukan DYMM Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini serta menyeru masyarakat agar terus menjaga keharmonian dan kesejahteraan bersama.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.