SHAH ALAM, 2 MEI: Polis sedang mengesan seorang lelaki dipercayai memukul penunggang motosikal menggunakan sebatang kayu dalam kejadian di Johor Bahru, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata pihaknya mengesan video berdurasi kira-kira 30 saat itu dimuat naik di platform Threads oleh akaun 'Kari Puley'.
“Video berkenaan memaparkan seorang lelaki yang memandu kereta dipercayai Perodua Myvi bertindak agresif dengan melakukan provokasi sebelum memukul seorang penunggang motosikal di tengah jalan.
"Kejadian dipercayai berlaku di kawasan sebuah stesen minyak di Jalan Bukit Chagar, Bukit Senyum. Setakat ini, tiada sebarang laporan polis diterima daripada mana-mana pihak yang terbabit dalam kejadian berkenaan," katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata pihak polis sedang giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti identiti kedua-dua individu terbabit termasuk motif sebenar kejadian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323.








