SHAH ALAM, 2 MEI: Pekerjaan bukan sekadar sumber pendapatan, sebaliknya memainkan peranan penting dalam memberi makna, identiti serta kesejahteraan emosi kepada individu.
Pakar psikiatri, Dr Mohammad Fitri Zainuddin, berkata walaupun faktor luaran seperti gaji penting untuk kelangsungan hidup, kepuasan dalaman dalam pekerjaan tidak boleh diabaikan.
Menurutnya, kepuasan kerja yang berpunca daripada minat, tujuan hidup dan rasa bermakna dalam tugasan harian membantu individu mengekalkan kestabilan emosi dalam jangka panjang.
“Gaji memang penting untuk kita hidup, tetapi kepuasan kerja itulah yang membantu seseorang terus bertahan dalam sesuatu pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Bicara Semasa bertajuk ‘Pekerjaan: Punca pendapatan atau punca tekanan?’ terbitan Media Selangor baru-baru ini.

Dr Fitri menjelaskan kekurangan kepuasan dalam pekerjaan boleh menyebabkan individu sekadar bekerja untuk ‘survive’ tanpa rasa keterikatan atau motivasi.
Keadaan itu, katanya, boleh menjejaskan kesihatan mental jika berlarutan dalam tempoh panjang.
“Apabila seseorang tidak mendapat kepuasan dalam kerja, mereka mungkin hilang motivasi dan rasa tujuan. Lama-kelamaan, keadaan ini boleh menyumbang kepada tekanan dan seterusnya membawa kepada ‘burnout’,” katanya.
Beliau turut menambah keseimbangan antara faktor luaran dan dalaman perlu diambil kira dalam membuat pilihan kerjaya.
Justeru, beliau menasihatkan individu agar tidak hanya menilai pekerjaan berdasarkan ganjaran kewangan semata-mata, sebaliknya turut mempertimbangkan aspek kepuasan dan makna demi kesejahteraan mental.
Tiada sempadan kerja, peribadi punca tekanan
Dalam masa sama, tekanan kerja juga berpunca daripada kegagalan menetapkan sempadan antara urusan kerja dan kehidupan peribadi.
Perkembangan teknologi serta budaya kerja masa kini menyebabkan ramai pekerja tidak lagi mempunyai waktu kerja yang jelas apabila tugasan berlanjutan di luar waktu pejabat melalui telefon dan mesej.
Situasi itu menyebabkan otak kekal berada dalam ‘mod kerja’ tanpa ruang pemulihan atau rehat yang mencukupi.
“Tanpa sempadan yang jelas, seseorang akan sentiasa berada dalam keadaan bekerja walaupun tidak melakukan tugasan secara fizikal,” ujarnya.
Menurutnya, antara tanda ketiadaan sempadan ialah apabila pekerja membawa tugasan ke ruang rehat seperti bilik tidur atau bekerja di atas katil.
“Apabila tempat rehat seperti katil digunakan untuk bekerja, otak akan mula mengaitkan ruang itu sebagai tempat kerja dan ini menjejaskan fungsi rehat itu sendiri,” katanya.
Keadaan tersebut menyebabkan ruang rehat tidak lagi berfungsi sebagai tempat memulihkan emosi, sekali gus menjejaskan kesejahteraan mental.
Tanpa pemisahan masa dan ruang yang jelas, risiko stres dan ‘burnout’ dalam kalangan pekerja dilihat semakin meningkat.









