Berhenti kerja bukan penyembuh 'luka senyap' ibu berkerjaya

26 Jan 2026, 3:00 AM
Berhenti kerja bukan penyembuh 'luka senyap' ibu berkerjaya

Ibu bekerja antara kelompok yang memikul beban berganda dalam diam di tengah kesibukan kota dan ritma hidup yang jarang berhenti.

Mereka bangun paling awal, tidur paling lewat, dan di antara dua waktu itu, mereka memerah seluruh tenaga untuk mengimbangi kerjaya serta keluarga.

Dalam dunia yang meminta terlalu banyak daripada ibu, penting untuk diingat betapa mereka juga manusia, bukan mesin yang boleh berjalan tanpa henti.

Golongan penggerak rumah tangga ini juga layak berehat, didengari dan dibantu sebelum kehilangan diri dalam perjuangan yang tidak pernah berhenti.

Ada ketikanya, terlintas di fikiran mereka untuk meninggalkan kerjaya, namun keputusan sebesar itu sering kali bukan jalan keluar yang adil. Ia mungkin melegakan sementara, tetapi boleh membuka luka lain yang lebih panjang.

Pakar Psikologi Klinikal Pusat Perubatan MSU, Prof Madya Dr Siti Hazlina Alias berkata, kecenderungan ibu bekerja membuat keputusan tergesa-gesa ketika emosi terhimpit adalah fenomena biasa, namun penuh risiko.

"Seseorang ibu perlu mengenali diri sendiri terlebih dahulu, termasuk memahami isyarat tekanan dan kekurangan diri yang boleh dijadikan benteng dalam mengurus emosi," katanya ketika program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Jika seorang ibu merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada emosi atau kesihatan mentalnya, langkah paling selamat adalah mencari bantuan lebih awal, bukan berundur secara tiba-tiba daripada dunia pekerjaan.

“Ibu bekerja boleh berjumpa dengan pakar psikologi untuk mendapatkan sokongan melalui terapi, dan dalam kes tertentu, rawatan lanjut oleh pakar psikiatri mungkin diperlukan,” jelasnya.

Namun, sekiranya berhenti kerja akhirnya menjadi pilihan terakhir, keputusan itu perlu dibuat dengan perancangan rapi serta sokongan yang mencukupi.

Tanpa persediaan tersebut, wanita berkerjaya berisiko terperangkap dalam tekanan baharu yang mungkin lebih menyakitkan.

Pakar Psikologi Klinikal Pusat Perubatan MSU, Prof Madya Dr Siti Hazlina Alias (kanan) ketika program Bicara Semasa

Lelah fizikal dan emosi, banding diri sendiri

Di sebalik kelelahan fizikal, ada satu emosi yang sering mencengkam hati ibu bekerja rasa bersalah, atau ‘mum guilt’. Ia muncul setiap kali ibu membandingkan dirinya dengan orang lain, terutama di media sosial yang sering menayangkan kesempurnaan.

“Perasaan bersalah ini normal, tetapi apabila ia berlebihan, ia boleh menjejaskan keyakinan diri dan emosi seorang ibu,” katanya.

Menurut Dr Siti Hazlina, perbandingan tanpa henti itu mampu menghakis rasa cukup yang sepatutnya menjadi benteng jiwa seorang ibu.

“Apabila ibu mula merasakan dirinya tidak cukup baik, perasaan itu boleh mempengaruhi emosi dan cara mereka menguruskan anak serta keluarga,” jelasnya.

Dalam keadaan tidak dikawal, rasa bersalah itu boleh menjadi punca tekanan mental berpanjangan, hingga merosakkan kesejahteraan emosi yang sepatutnya dipelihara.

Antara tanda tekanan mental paling kerap diabaikan ialah keletihan atau ‘burnout’ yang tidak pernah hilang.

“Keletihan yang dialami bukan sekadar fizikal, tetapi melibatkan keletihan emosi dan mental akibat tekanan yang berlarutan,” katanya.

Apabila keadaan itu berlaku, tekanan kecil yang dulu mudah diurus kini mampu melumpuhkan emosi. Jika tidak ditangani, ia membuka ruang kepada gangguan mental yang lebih serius.

“Sebab itu penting untuk ibu bekerja mengenali tanda awal dan mendapatkan sokongan lebih awal sebelum keadaan menjadi lebih serius,” katanya.