KUALA LUMPUR, 8 FEB: Kerajaan menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang perhimpunan atau tindakan yang mengganggu ketenteraman awam, termasuk isu berkaitan rumah ibadat.
Jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sebarang perselisihan faham perlu diselesaikan mengikut undang-undang sedia ada dan bukan melalui tindakan mengikut emosi.
“Malaysia mempunyai undang-undang. Jika berlaku perselisihan, rakyat perlu mengikut saluran yang betul dan tidak mengambil tindakan sendiri.
“Apabila aduan dibuat dan undang-undang terpakai, isu berkenaan boleh ditangani dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Keselamatan Internet 2026 di Taman Tasik Titiwangsa, hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, semua pihak perlu mematuhi saluran undang-undang dalam menangani isu rumah ibadat, manakala kerajaan akan terus memantau keadaan bagi memastikan keamanan dan ketenteraman awam terpelihara.
Terdahulu, media melaporkan kira-kira 19 individu ditahan selepas terlibat dalam perhimpunan berhampiran Kompleks Sogo, semalam.
Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima makluman penganjuran perhimpunan tersebut daripada pihak penganjur.


