Cemerlang urus kewangan Islam, MAIS raih anugerah BrandLaureate 2026

1 Mei 2026, 11:00 AM
Cemerlang urus kewangan Islam, MAIS raih anugerah BrandLaureate 2026

SHAH ALAM, 1 MEI: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dinobatkan sebagai penerima The BrandLaureate World Halal BestBrands Awards 2026, sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan tadbir urus kewangan Islam dan pengurusan harta.

Menurut MAIS, anugerah berprestij anjuran The World Brands Foundation (TWBF) itu disampaikan pada 29 April dan diterima oleh Setiausahanya, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

“Anugerah ini merupakan pengiktirafan terhadap peranan MAIS dalam menerajui ekosistem halal dalam kewangan Islam serta kecemerlangan tadbir urus kewangan Islam dan pengurusan harta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MAIS memaklumkan pengiktirafan tersebut turut didorong ketelusan agensi itu dalam menguruskan dana Baitulmal, zakat dan wakaf dengan pematuhan terhadap Piawaian Perakaunan Islam Baitulmal, Zakat dan Wakaf (PPIBZW).

“Sebagai pemegang amanah zakat, baitulmal dan wakaf, MAIS membuktikan kredibilitinya melalui pematuhan tegar terhadap piawaian perakaunan Islam serta keupayaan mengekalkan Sijil Kewangan Bersih daripada Jabatan Audit Negara setiap tahun,” katanya lagi.

Selain itu, MAIS turut memperkukuh pengurusan harta Islam meliputi penyediaan wasiat, hibah serta urusan pembahagian pusaka bagi memastikan kelestarian ekonomi ummah.

“Penggunaan teknologi digital seperti Sistem Wasiat Hibah (SISWA) dan e-faraid membuktikan komitmen MAIS untuk mendepani arus pemodenan dalam pengurusan harta Islam,” katanya.

Penganugerahan tersebut mengukuhkan kedudukan MAIS sebagai institusi utama pentadbiran Islam negeri yang komited memastikan kesejahteraan sosioekonomi umat Islam terus terpelihara.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.