SHAH ALAM, 1 MEI: Pentadbiran Selangor akan terus memberi komitmen terhadap dunia pekerjaan dengan meningkatkan pelbagai kemahiran selain menyediakan peluang baharu kepada golongan pekerja.
EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata Kerajaan Negeri pimpinan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari juga akan melindungi hak pekerja termasuk aspek keadilan, bayaran gaji dan persekitaran tempat kerja yang selamat.
“Hari ini kita meraikan Hari Pekerja. Semua pekerjaan merupakan kekuatan untuk Selangor terus berkembang dan berjaya. Kepada majikan, layan pekerja anda sebagai rakan.
“Kepada semua pekerja, terima kasih atas kerjasama dan penglibatan dalam pembangunan negara kita. Selamat Hari Pekerja kepada semua yang mencurah bakti dan tenaga demi kemajuan negara,” katanya menerusi rakaman video sempena Hari Pekerja yang disambut hari ini.
Sambutan Hari Pekerja yang disambut 1 Mei setiap tahun akan dianjur menerusi Karnival Hari Pekerja 2026 bermula hari ini hingga 3 Mei di Unifi Arena, Bukit Jalil sebagai platform menghargai sumbangan tenaga kerja negara.
Acara itu juga bertujuan memperkukuh ekosistem kerjaya melalui peluang pekerjaan, pembangunan kemahiran dan pelbagai perkhidmatan kepada rakyat.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memaklumkan sambutan yang bertemakan "Pekerja MADANI Kesuma Bangsa" itu akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dijangka menghimpunkan lebih 15,000 tenaga kerja daripada pelbagai sektor termasuk kesatuan sekerja, badan berkanun serta sektor awam dan swasta.
Amanat Perdana Menteri akan menjadi kemuncak perhimpunan selain adanya acara penyampaian Anugerah Hari Pekerja 2026 untuk pengiktirafan kepada sumbangan pekerja dalam pembangunan negara.
Selain itu sebanyak 14 kategori anugerah akan disampaikan merangkumi tokoh pekerja, majikan, kesatuan sekerja, media dan kontinjen terbaik, dengan setiap penerima membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta plak penghargaan, menjadikan jumlah keseluruhan ganjaran sebanyak RM140,000.








