Kesedaran hak pekerja masih rendah, cabaran utama tegakkan keadilan, kata peguam 

1 Mei 2026, 8:00 AM
Kesedaran hak pekerja masih rendah, cabaran utama tegakkan keadilan, kata peguam 

SHAH ALAM, 1 MEI: Kesedaran mengenai hak pekerja di Malaysia masih berada pada tahap rendah meskipun perlindungan undang-undang sedia ada disifatkan kukuh.

Peguam, Esther Tamil Chelevam, berkata masih ramai pekerja “tidak sedar tentang hak mereka sendiri”, sekali gus menyukarkan usaha memastikan keadilan di tempat kerja dilaksanakan dengan berkesan.

Menurutnya, situasi itu merentasi semua kaum dan sektor pekerjaan, khususnya apabila pekerja kurang terdedah kepada undang-undang buruh serta hak asas mereka.

“Bila pekerja sendiri tak tahu apa hak mereka, memang susah nak pastikan hak itu benar-benar dilindungi,” katanya.

Beliau turut mendedahkan yang masih ada pekerja yang tidak mempunyai kontrak kerja yang jelas, selain kurang memahami perkara asas seperti caruman persaraan, perlindungan insurans dan aspek keselamatan di tempat kerja.

Temuramah bersama Esther Tamil Chelevam di Ibu Pejabat  Media Selangor pada 29 April 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Jelasnya, beberapa faktor dikenal pasti menyumbang kepada keadaan tersebut, termasuk kelemahan pengurusan sumber manusia, kekurangan pendedahan kepada undang-undang serta kebimbangan pekerja untuk bersuara.

Gabungan faktor berkenaan menyebabkan isu seperti tunggakan gaji, masalah pencen dan keselamatan tempat kerja tidak ditangani secara berkesan.

Dalam masa sama, kos sara hidup tinggi khususnya di kawasan bandar menambah tekanan kepada pekerja sehingga ada yang memilih untuk berdiam diri.

“Ramai yang memilih untuk berdiam diri kerana takut kehilangan pekerjaan,” katanya.

Menurut beliau, sikap itu bukan sahaja melibatkan pekerja muda, malah merentasi semua peringkat umur, termasuk mereka yang lebih menumpukan keperluan semasa tanpa perancangan masa depan yang jelas.

Bertindak professional, jangan ikut emosi

Mengulas langkah menangani isu di tempat kerja, Esther menasihatkan pekerja supaya bertindak secara profesional dan tidak mengikut emosi.

“Perkara pertama ialah kumpulkan bukti dan simpan dokumen dengan baik,” katanya sambil menegaskan kepentingan bukti kukuh bagi membolehkan sesuatu aduan diproses.

Beliau berkata pekerja disaran mengemukakan sebarang isu kepada jabatan sumber manusia terlebih dahulu sebelum merujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja atau mendapatkan nasihat guaman, termasuk membawa kes ke mahkamah jika perlu.

Temuramah bersama Esther Tamil Chelevam di Ibu Pejabat  Media Selangor pada 29 April 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Dalam pada itu, beliau menyifatkan pusat bantuan guaman Malaysian Bar sebagai saluran penting bagi pekerja berpendapatan rendah mendapatkan keadilan.

Katanya, pekerja yang berdepan isu seperti tunggakan gaji, pemberhentian tidak adil, kegagalan bayaran kerja lebih masa atau gangguan di tempat kerja boleh mendapatkan nasihat secara percuma atau dengan kos yang rendah.

“Ramai tidak sedar bahawa mereka sebenarnya boleh mendapatkan bantuan walaupun tidak mampu dari segi kewangan,” katanya.

Tambah beliau, pusat berkenaan turut membantu menyediakan dokumen serta membimbing pekerja dalam proses membuat aduan kepada pihak berkuasa atau mahkamah.

“Walaupun tidak mempunyai kemampuan kewangan, masih ada cara untuk menuntut hak melalui saluran yang betul,” jelasnya.

Selain itu, aplikasi “Working For Workers (WFW)” yang diperkenalkan kerajaan dilihat memudahkan pekerja membuat aduan secara lebih selamat dan tersusun.

“Sekarang pekerja boleh melapor tanpa rasa takut,” katanya, menyifatkan inisiatif tersebut sebagai langkah positif.

Kerajaan terus komited bela hak pekerja

Mengulas perkembangan dasar, beliau berkata pindaan Akta Kerja 1955 menunjukkan komitmen kerajaan memperkukuh kebajikan pekerja, termasuk lanjutan cuti bersalin kepada 98 hari, cuti paterniti tujuh hari serta hak memohon waktu kerja fleksibel.

Undang-undang itu juga menegaskan semua pekerja perlu dilayan tanpa diskriminasi berdasarkan kaum, agama atau jantina.

Warga kerja sektor awam dan swasta mengikuti ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil pada 1 Mei 2026. Foto BERNAMA

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan undang-undang baharu bagi melindungi pekerja gig telah dikuatkuasakan pada 2025, sekali gus memperluas perlindungan kepada sektor berkenaan.

Kerajaan juga, katanya, terus mengambil langkah berkaitan gaji minimum serta perlindungan pekerja asing.

Mengulas konteks Selangor sebagai negeri pesat membangun, Esther berkata kepelbagaian sektor industri menarik kehadiran pekerja tempatan dan asing, namun persaingan tinggi memberi tekanan kepada sebahagian mereka.

Katanya, terdapat pekerja yang terpaksa menerima gaji rendah, bekerja tanpa kontrak atau tidak menerima bayaran kerja lebih masa, manakala pekerja asing berdepan cabaran tambahan seperti halangan bahasa dan kekurangan pengetahuan undang-undang.

Beliau turut menegaskan dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana masih berlaku ketidakpatuhan terhadap undang-undang buruh, termasuk kegagalan membayar kerja lebih masa dan tidak menyediakan perlindungan keselamatan mencukupi.

“Masalah ini berlaku bukan semata-mata kerana undang-undang lemah, tetapi kerana tahap kesedaran masih rendah,” katanya.

Mengakhiri kenyataannya sempena Hari Pekerja, beliau menekankan kepentingan sikap menghargai diri dalam kalangan pekerja.

“Jika kita belajar menghargai diri sendiri, kita akan mempunyai keberanian untuk menentang ketidakadilan.”

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.