SHAH ALAM, 22 APRIL: KDEB Waste Management (KDEBWM) menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan komited meneliti pelaksanaan konsep “waste to plant” (WTP) bagi memperkukuh sistem pengurusan sisa pepejal di negeri ini.
Pengarah Urusannya, Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata pihaknya menghargai teguran Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan mengakui masih terdapat ruang penambahbaikan dalam penyampaian perkhidmatan kepada kira-kira 7.5 juta penduduk yang diliputi operasi harian KDEBWM.
“Antara cabaran utama yang menjejaskan kecekapan kutipan sisa adalah aspek operasi dan logistik, termasuk kekangan memenuhi jangkaan jumlah penduduk yang tinggi. Isu teknikal lain seperti kerosakan lori, gangguan jadual kerja serta faktor luar jangka turut memberi kesan kepada kelancaran perkhidmatan di lapangan.
“Titah dan pandangan Tuanku amat dihargai. Kami akui ada ruang penambahbaikan dan KDEBWM komited untuk mengkaji setiap kelemahan serta mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dari semasa ke semasa,” katanya kepada Media Selangor.
Mengulas lanjut, Ramli berkata KDEBWM mempunyai minat mendalam terhadap saranan Baginda berhubung pembinaan loji WTE sebagai pendekatan lebih mampan dalam pengurusan sisa.
Tambahnya, KDEBWM akan meneroka kerjasama strategik bersama Kerajaan Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menjayakan inisiatif tersebut.
“Kami berharap dapat merealisasikan pembinaan loji WTE kedua dan ketiga di Selangor. Ini penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan serta meningkatkan kecekapan pengurusan sisa secara menyeluruh.
“Kerjasama erat dengan PBT amat penting khususnya dalam aspek penguatkuasaan, manakala pentadbiran negeri dapat membantu menampung kekurangan serta peningkatan kos operasi,” jelasnya.
Pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 Selangor, Sultan Sharafuddin menitahkan Kerajaan Negeri untuk memberi tumpuan serius kepada pembangunan industri WTE atau loji sisa kepada tenaga sebagai penyelesaian jangka panjang pengurusan sampah di Selangor.







