SHAH ALAM, 6 APRIL: Syarikat penyelenggara sisa, KDEB Waste Management (KDEBWM) memerlukan kos tambahan bagi memastikan operasi kutipan sampah berjalan lancar tanpa gangguan, susulan kenaikan harga minyak global ketika ini.
EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata beliau telah mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Negeri, selain memberi gambaran mengenai situasi dan kekangan yang bakal ditanggung syarikat utiliti tersebut.
“Kalau jangka masa pendek, mungkin masih boleh tanggung, tapi sekarang kita tak dapat ramal bila perang di Asia Barat tamat. Kalau tiada dana tambahan ini, ia akan menyebabkan jadual kutipan terganggu.
“Pihak kontraktor pasti terkesan, jadi mereka akan kurangkan trip kutipan. Ini memang akan beri kesan besar. Kita kena faham sektor pembersihan ini merupakan kategori penting dan diperlukan negeri,” katanya kepada Media Selangor.
Pada Jumaat, Pengarah Urusan KDEBWM Dato’ Ramli Mohd Tahir memaklumkan lebih RM4 juta kenaikan kos diesel terpaksa ditanggung pihaknya setiap bulan bagi operasi kutipan sisa susulan ketegangan global semasa.
Menurutnya lonjakan lebih 60 peratus itu menyebabkan kos operasi bulanan meningkat hampir RM10 juta, berbanding sekitar RM6 juta sebelum ini sekali gus memberi cabaran dan kesan kepada kecekapan sistem pengurusan sisa dan kelangsungan perkhidmatan.

Dalam pada itu, Ramli memaklumkan langkah mitigasi sedang dirangka Kerajaan Negeri dengan penglibatan beberapa pakar luar bagi mencari penyelesaian terbaik dan tidak mengganggu operasi.
Sebagai langkah jangka panjang, jelanya, KDEBWM terbuka ke arah penggunaan lori elektrik (EV), namun penelitian kapasiti, ketahanan bateri, kos pelaburan dan kesesuaian perlu diteliti.










