Selangor perkukuh hab AI, tarik pelaburan teknologi

29 Apr 2026, 8:25 AM
Selangor perkukuh hab AI, tarik pelaburan teknologi

SHAH ALAM, 29 APRIL: Selangor sedang mempergiat usaha untuk menjadi hab kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan infrastruktur digital di peringkat serantau, dengan fokus kepada peningkatan kapasiti pusat data serta menarik pelaburan teknologi tinggi.

EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han berkata negeri ini giat membangunkan pusat data serta memperkukuh infrastruktur digital secara menyeluruh, termasuk memastikan bekalan elektrik stabil, rangkaian telekomunikasi berkapasiti tinggi dan sumber air mencukupi bagi menyokong operasi jangka panjang AI dan pengkomputeran awan.

“Pembangunan AI dan pelaburan pusat data kini tertumpu di kawasan strategik seperti Sepang, Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang yang mempunyai kemudahan infrastruktur dan sambungan yang baik.

“Program Selangor Career Outreach (SCOUT) bersama Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) turut diperkukuh bagi menghubungkan industri, institusi pendidikan dan graduan, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan berteknologi tinggi,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan tenaga kerja tempatan mempunyai kemahiran yang sesuai dengan keperluan ekonomi digital yang semakin berkembang.

Pada masa sama, Kerajaan Negeri turut menambah baik dasar bagi mempercepat proses kelulusan projek, tanpa mengabaikan aspek pembangunan mampan, sekali gus meningkatkan daya saing Selangor sebagai destinasi pelaburan AI.

Menurutnya, persediaan dari segi infrastruktur dan tenaga kerja juga telah dilakukan bagi menyokong kemasukan pelaburan dalam bidang tersebut.

“Bagi menilai kesediaan infrastruktur mengikut keperluan projek, Invest Selangor mengadakan perbincangan awal bersama pelabur, pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan,” katanya.

Sze Han berkata kerjasama dengan syarikat teknologi global turut membuka peluang baharu dalam pembangunan kemahiran dan pemindahan ilmu, khususnya dalam bidang AI, pengkomputeran awan dan analisis data.

“Kerjasama ini penting bukan sahaja untuk menarik pelaburan, tetapi juga membangunkan tenaga kerja mahir bagi menyokong ekonomi digital masa depan,” katanya.

Tambah beliau, semua inisiatif ini adalah sebahagian strategi lebih besar Selangor untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi utama pelaburan digital dan teknologi di rantau ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.