SHAH ALAM, 29 APRIL: Bangunan Gedung Raja Abdullah dijangka dibuka semula sebagai Muzium Timah pada Disember 2026, tertakluk kepada kemajuan kerja pemulihan dan naik taraf.
EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata projek itu dilaksanakan secara menyeluruh oleh Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT), merangkumi pemuliharaan struktur bangunan, penambahbaikan pameran serta strategi promosi bagi memastikan muzium beroperasi semula dengan lebih berkesan.
“Selain itu, muzium ini juga akan diintegrasikan dalam laluan pelancongan warisan Klang bersama tarikan lain seperti Masjid Diraja Sultan Suleiman dan Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz bagi memperkukuh ekosistem pelancongan warisan setempat.
“Pendekatan ini diyakini bukan sahaja dapat menghidupkan semula fungsi bangunan bersejarah tersebut, malah berpotensi menjadikannya sebagai produk pelancongan warisan yang ikonik dan berdaya saing di Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri Sabak Sallehen Mukhyi yang ingin mengetahui status terkini Gedung Raja Abdullah di Klang yang telah ditutup melebihi 10 tahun di Sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Pada masa sama, Borhan memaklumkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor pada 27 Februari lepas telah bersetuju bangunan tersebut dipindahkan ke tapak baharu yang lebih sesuai di Taman Bandar Diraja Klang, iaitu bersebelahan Tugu Keris Klang.
“Antara faktor perpindahan kedudukannya yang bersebelahan dengan Jambatan Tengku Kelana yang mempunyai aliran trafik tinggi telah menghasilkan getaran berkala dan berisiko kepada bangunan kayu yang berusia hampir 200 tahun.
“Selain itu, kedudukannya yang bersebelahan dengan Ibu Pejabat Polis Klang Selatan menyebabkan ia tidak menarik perhatian pengunjung selain kawasan sekitar juga mempunyai kemudahan tempat letak kereta yang terhad dan trafik di sekitarnya sesak dengan orang awam yang mempunyai urusan dengan pihak polis.
“Sehubungan itu, pemindahan ke lokasi baharu yang lebih strategik adalah wajar bagi memastikan nilai warisan bangunan ini terus dipelihara serta dapat dimanfaatkan sebagai produk pelancongan dan pendidikan kepada masyarakat,” ujarnya.







