SUKMA 2026: Persiapan venue perahu layar capai 70 peratus

6 Jun 2026, 11:14 AM
SUKMA 2026: Persiapan venue perahu layar capai 70 peratus

KUALA SELANGOR, 6 JUN: Tahap kesiapsiagaan venue bagi acara sukan perahu layar Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Pantai Batu Laut, Kuala Langat kini mencapai 70 peratus.

Bapa Angkat bagi sukan perahu layar Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata persiapan kini menumpukan pada kerja pembersihan dan penyediaan kemudahan asas selain pengindahan kawasan sekitar pantai.

“Di Batu Laut saya sentiasa memantau. Setakat ini kerja pembersihan, dan juga kita pastikan fasiliti disediakan dengan baik. Walaupun sederhana tapi kemeriahan mesti ada.

“Saya dimaklumkan rumah homestay di Batu Laut semuanya sudah penuh dengan tempahan kerana ramai yang akan datang nanti. Persiapan tinggal 30 peratus sahaja lagi,” katanya pada sidang media.

Beliau yang juga EXCO perumahan ditemui selepas menyempurnakan majlis pelancaran Desa Kerayong Indah atau Kerayong Hills di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Borhan berharap pasukan perahu layar negeri mampu memanfaatkan kelebihan beraksi di tempah sekali gus mengharumkan nama Selangor di peringkat kebangsaan.

“Selangor ada kelebihan kerana kita berlatih di lokasi sama setiap hari. Kita harap pelayar kita dapat manfaatkan kelebihan ini. Hanya faktor bot sahaja yg akan bezakan kita,” katanya.

SUKMA edisi ke-22 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala PARA SUKMA akan diadakan dari 5 hingga 10 September.

Sebanyak 469 acara daripada 37 jenis sukan akan dipertandingkan di sembilan daerah membabitkan 52 venue, manakala PARA SUKMA melibatkan 10 jenis sukan dengan 316 acara yang berlangsung di daerah Petaling dan Klang.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.