KUALA SELANGOR, 6 JUN: Penantian hampir 30 tahun lebih 200 pembeli kediaman Desa Kerayong Indah di sini akhirnya berakhir apabila projek perumahan yang terbengkalai sejak sekian lama itu disambung semula dan dijangka siap tahun depan.
EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata projek berkenaan sebelum ini berdepan pelbagai kekangan termasuk isu Kebenaran Merancang (KM), susun atur pembangunan serta utiliti yang menghalang proses pembinaannya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri memainkan peranan memudah cara proses pemulihan menerusi beberapa penambahbaikan dasar dan pindaan berkaitan perumahan, selain kerjasama Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).

“Kita berterima kasih kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan semua yang membantu. Nampaknya pada akhir tahun ini atau awal tahun depan, kita akan mampu siapkan 235 unit rumah dahulu dalam Fasa 1.
“Ini antara projek terbengkalai yang terbesar membabitkan kawasan 216 ekar kerana projek ini sebelum ini adalah pembesaran kampung. Kita bersyukur, walaupun sudah 30 tahun, nampaknya ia berjaya diselesaikan,” katanya pada sidang media.
Menurut Borhan, usaha pemulihan tersebut diterajui oleh Probil Industries (M) Sdn Bhd selaku kontraktor yang dilantik Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), bersama Dimensi Jayamas Sdn Bhd sebagai kontraktor bersama.
Jelasnya, semua pembeli sedia ada yang telah menandatangani perjanjian awal ditawarkan penyelesaian berstruktur serta pakej sokongan menerusi inisiatif pemulihan yang disediakan pemaju.
Sementara itu, pembeli, Ruslina Razak, 59, mengakui jatuh cinta dengan pemandangan projek perumahan yang terletak di Bukit Kerayong itu ketika pertama kali meninjau kawasan berkenaan pada 2000.

“Saya beli pada 2000, dan penantian sehingga sekarang. Walaupun kawan-kawan sudah tarik diri, tetapi saya tetap positif dan mahu tunggu kerana saya suka suasana di sini.
“Saya yakin projek ini boleh siap. Sebelum ini saya buat tidak tahu sahaja, saya tidak mahu fikir, tetapi saya fikir kalau ada rezeki saya, insya-Allah saya boleh duduk di sini nanti,” katanya.
Pesara, Ramlee Johor, 65, berkata harga kediaman yang agak berpatutan dengan keluasan dan suasana yang menarik, menyebabkan beliau sanggup meneruskan pembelian rumah berkenaan.

“Saya beli rumah ini pada 1999. Masa itu saya sudah ada rumah sendiri, tetapi saya lihat persekitaran di sini bagus, terletak atas bukit.
“Sekarang mahu cari rumah yang luas macam ini, dengan harga ini, memang amat sukar. Harganya mampu milik dan persekitaran juga cantik,” kata bapa tiga anak ini.










