SHAH ALAM, 28 APRIL: Kerajaan Selangor melancarkan papan pemuka pemantauan harian dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memantau pergerakan harga dan tekanan kos sara hidup.
EXCO Infrastruktur dan Pertanian Dato’ Izham Hashim berkata sistem itu digunakan kerajaan negeri untuk menyelaras tindakan antara agensi secara masa nyata, sekali gus membolehkan sebarang kenaikan harga barangan asas dikesan dan ditangani dengan cepat.
Beliau berkata konflik global boleh menyebabkan harga makanan dan bahan mentah meningkat, justeru pemantauan harga secara harian amat penting.
Izham turut menjelaskan Selangor berdepan kekangan untuk mencapai tahap sara diri makanan sepenuhnya.
“Walaupun kita terus meningkatkan pengeluaran tempatan, sara diri sepenuhnya sukar dicapai kerana kekurangan tanah pertanian dan tahap pembandaran yang tinggi,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Bagi mengurangkan risiko, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada pengukuhan rantaian bekalan supaya pengedaran lebih cepat dan pembaziran, terutama barangan mudah rosak, dapat dikurangkan.
Namun, usaha menyediakan simpanan makanan memerlukan kos yang tinggi. Izham berkata kira-kira RM200 juta diperlukan bagi menampung bekalan makanan asas untuk tempoh sebulan sahaja.
“Selain kos, cabaran lain termasuk penyimpanan dan logistik, terutama untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan diurus dengan baik,” katanya.
Mengulas bekalan tertentu, beliau berkata pengeluaran daging babi tempatan menurun berikutan wabak penyakit, menyebabkan import terkawal perlu dilakukan.
Bekalan daging lembu pula masih bergantung kepada import, yang kini merangkumi kira-kira 95 peratus daripada penggunaan dalam negara.
“Peningkatan kos input pertanian seperti baja, khususnya urea, juga menjadi cabaran besar susulan turun naik harga minyak dunia,” katanya.
Izham menambah kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan bersasar kepada sektor terjejas seperti penternakan ayam dan pertanian berdasarkan keperluan kos masing-masing.








