Empat PATI ditahan selepas kereta dinaiki terbabas, langgar tiang lampu

28 Apr 2026, 1:58 AM
Empat PATI ditahan selepas kereta dinaiki terbabas, langgar tiang lampu

SHAH ALAM, 28 APRIL: Cubaan empat pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk remaja berusia 14 tahun melarikan diri dengan sebuah kenderaan gagal selepas kereta dinaiki terbabas dan melanggar tiang lampu dalam kejadian pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pihaknya menerima maklumat kira-kira jam 9.49 pagi berhubung kejadian pihaknya mengejar sebuah kereta Honda City di Dataran Otomobil Seksyen 15 menghala ke Bulatan Seksyen 15.

Menurutnya, anggota polis mengarahkan pemandu memberhentikan kenderaan dengan memasang lampu isyarat, membunyikan hon serta menggunakan pembesar suara, namun arahan itu tidak diendahkan.

“Pemandu kenderaan terbabit bertindak memecut laju dan memandu secara melulu sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.

Beliau berkata, kenderaan itu kemudian terbabas sebelum melanggar tiang lampu dan berjaya ditahan di kawasan perumahan Jalan Ibus Dua 18/40B, Seksyen 18.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat tiga lelaki dan seorang wanita warga Indonesia dalam kenderaan itu dan tiada barangan salah ditemukan.

“Semakan mendapati kesemua suspek berusia antara 14 hingga 41 tahun tidak mempunyai dokumen perjalanan sah,” katanya.

Tambah beliau, hasil saringan awal air kencing mendapati dua daripada empat suspek positif dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan 279 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam serta memandu secara melulu di jalan awam, selain Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen sah.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara, denda atau kedua-duanya sekali mengikut peruntukan undang-undang berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Mohd Ariff Mat Saman @ Abdul Ghani di talian 019-2647349 bagi membantu siasatan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.