SHAH ALAM, 27 APRIL: Persatuan “The Huayan Pureland Buddhist” membuat laporan polis susulan penyalahgunaan nama dan akaun Facebook mereka bagi menyebarkan hantaran yang didakwa menghina Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
Memetik laporan Sin Chew Daily melalui Malay Mail, persatuan itu menegaskan akaun berkenaan adalah palsu dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mereka.
Menurut mereka, tindakan penyamaran tersebut disifatkan sebagai berniat jahat serta cubaan mencemarkan reputasi persatuan.
Laporan polis yang dipaparkan di premis persatuan itu menyebut setiausahanya berusia 57 tahun menyedari perkara tersebut selepas menerima mesej mengenai akaun berkenaan pada 25 April.
Beliau turut menafikan sekeras-kerasnya sebarang penglibatan dalam penghinaan terhadap Sultan Selangor dan menyifatkan insiden tersebut sebagai fitnah yang disengajakan.
Kelmarin, tular di media sosial satu hantaran yang menyunting imej khinzir memakai pakaian adat istana dan mengaitkannya dengan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Berikutan itu, EXCO Pelaburan Ng Sze Han mengecam hantaran berkenaan dan menyeru polis mengambil tindakan tegas agar pihak terbabit dikenakan hukuman berat selaras dengan peruntukan undang-undang.
Kecaman turut dibuat beberapa lagi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri iaitu EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah; EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah; EXCO Perpaduan Dato’ Rizam Ismail; EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi dan EXCO Sumber Manusia V Papparaidu.
Terdahulu, Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar, Saifuddin Shafi Muhammad berkata Dato’ Amirudin Shari akan bertemu Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil petang ini susulan hantaran tular tersebut selain Ahli Dewan di-Raja Selangor juga dijangka membuat laporan polis atas isu sama.








