Sultan puji Tabung Haji, sifatkan pengurusan amat baik dan tersusun

2 Jun 2026, 7:07 AM
Sultan puji Tabung Haji, sifatkan pengurusan amat baik dan tersusun
Sultan puji Tabung Haji, sifatkan pengurusan amat baik dan tersusun

SHAH ALAM, 2 JUN: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan penghargaan terhadap mutu perkhidmatan dan pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) yang amat baik dan tersusun sejak penubuhannya.

Istana Alam Shah dalam kenyataan hari ini menyebut Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut memuji institusi berkenaan yang sentiasa mengutamakan keselesaan dan keselamatan jemaah.

Menurut kenyataan itu, Baginda menzahirkan penghargaan berdasarkan pengalaman peribadi menggunakan perkhidmatan TH ketika menunaikan haji sebanyak dua kali selain beberapa kali mengerjakan umrah.

"Berdasarkan pengalaman peribadi tersebut, Baginda menzahirkan penghargaan terhadap mutu perkhidmatan, kebajikan dan pengurusan TH yang disifatkan Baginda sebagai amat baik, tersusun serta sentiasa mengutamakan keselesaan dan keselamatan para jemaah," menurut kenyataan itu.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada umat Islam di seluruh negara. Baginda berkenan mengabadikan gambar kenangan di Raudhah, Masjid Nabawi, Madinah pada musim haji 2023. Foto Facebook Selangor Royal Office

Sultan Selangor turut mengucapkan tahniah kepada TH yang menerima Labaytum Diamond Award, dua tahun berturut-turut termasuk tahun ini daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Baginda menyifatkan pengiktirafan kali kelima itu bukti jelas kecekapan, profesionalisme dan komitmen tinggi TH dalam mengurus serta menyelaras operasi haji Malaysia di Makkah dan Madinah.

Baginda bertitah kejayaan itu mengharumkan nama Malaysia dan memperkukuh reputasi negara sebagai peneraju pengurusan haji yang sistematik, cekap dan berteraskan prinsip syariah.

Dalam pada itu, Baginda turut mengimbas sejarah penubuhan TH cetusan Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, untuk membantu umat Islam menyimpan wang bagi menunaikan haji.

"Melalui pemikiran jauh beliau pada 1959, satu model simpanan dan pelaburan patuh syariah diwujudkan bagi membantu orang Melayu Islam menyimpan wang secara terancang untuk menunaikan ibadah haji tanpa perlu menjual aset atau berhutang.

"Visi beliau itu ternyata membantu jutaan orang Melayu Islam menunaikan Rukun Islam kelima dengan kaedah yang sistematik," jelas kenyataan itu lagi.

Suasana jemaah haji melakukan tawaf haji di Masjidil Haram pada 28 Mei 2026. hari ini. Foto BERNAMA

Pada masa sama, Sultan Selangor turut merakamkan penghargaan kepada jemaah haji Malaysia yang sentiasa menunjukkan disiplin, adab dan akhlak yang tinggi sepanjang berada di tanah suci.

Baginda bertitah sikap tertib, kerjasama yang baik serta patuh kepada peraturan menjadi contoh jemaah antarabangsa selain dipuji pihak berkuasa Arab Saudi.

“Baginda percaya kecemerlangan pada musim haji tahun ini hasil kerjasama erat antara pihak pengurusan khususnya Pengerusinya Tan Sri Abdul Rashid Hussain serta petugas haji dan jemaah sendiri yang sentiasa mengutamakan semangat kebersamaan serta memelihara nama baik negara,” menurut kenyataan itu.

Baginda juga yakin institusi berkenaan akan terus mengekalkan kecemerlangan serta berterusan menambah baik operasi dan mutu perkhidmatannya dari semasa ke semasa.

“Baginda berharap institusi tersebut akan terus menjadi kebanggaan negara dan kekal komited dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para Dhuyufurrahman demi kemaslahatan ummah serta kesejahteraan umat Islam seluruhnya,” jelas kenyataan itu.

Anugerah Labaytum merupakan antara pengiktirafan tertinggi dalam ekosistem haji global yang menilai kecemerlangan operasi, kebajikan jemaah, perkhidmatan kesihatan, program bimbingan, pengurusan logistik, inovasi digital serta keseluruhan pengalaman jemaah.

Anugerah Diamond pula merupakan tahap pengiktirafan tertinggi dalam program tersebut.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.