SHAH ALAM, 26 APRIL: Seorang lelaki ditahan polis selepas bertindak mengurung isteri bersama tiga anak kira-kira tujuh jam serta mengugut membunuh mereka dalam kejadian di sebuah ladang dekat Kalabakan, Tawau, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu sekitar jam 8.30 malam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, operasi melibatkan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama Balai Polis Kalabakan.
Beliau berkata, suspek dipercayai berada dalam keadaan khayal akibat pengaruh dadah dan bertindak agresif dengan mengunci mangsa di dalam rumah.
“Suspek turut membaling sabit ke arah individu yang cuba menenangkan keadaan selain mengugut untuk membunuh sesiapa yang cuba masuk ke rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Jasmin berkata, pihak polis mengambil masa kira-kira tujuh jam memujuk suspek sebelum bertindak menyerbu rumah bagi menyelamatkan mangsa.
Menurutnya, dalam operasi tersebut, polis terpaksa menggunakan taser gun untuk melumpuhkan suspek sebelum berjaya menahannya.
Katanya, polis turut merampas beberapa senjata berbahaya di lokasi kejadian termasuk parang, sabit, paip besi dan pemutar skru.
“Siasatan lanjut mendapati suspek berusia 39 tahun itu mempunyai rekod lampau atas kesalahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata, suspek kini ditahan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 342 serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan selain Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Bahan Letupan.








