SHAH ALAM, 13 JUN: Nelayan orang kurang upaya (OKU) penglihatan maut selepas dipercayai menjadi mangsa serangan dalam satu pertengkaran yang berlaku ketika kerja pembaikan sebuah rumah di Felda Umas, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, mangsa, Mohamad Sukry Mobing, 40, dipercayai terlibat dalam perselisihan dengan dua lelaki warga asing selepas ditegur berhubung kelewatan menyiapkan kerja pembaikan rumah milik seorang penduduk.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala, mulut dan hidung selepas dipercayai dipukul menggunakan batang pokok bakau.
Mangsa kemudian ditemukan dalam keadaan berlumuran darah serta mengalami kesukaran bernafas di kawasan jeti awam Felda Umas.
Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Felda Umas untuk menerima rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Tawau.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital pada jam 1.35 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati pertengkaran dipercayai berpunca daripada teguran terhadap mangsa yang didakwa lambat menyiapkan kerja pembaikan rumah.
Menurutnya, kedua-dua suspek kemudiannya dipercayai bertindak memukul mangsa menggunakan batang pokok bakau sehingga menyebabkan kecederaan serius.
“Susulan maklumat yang diterima dan hasil siasatan dijalankan, polis berjaya menahan dua lelaki berusia 23 dan 52 tahun di Pulau Bingkulan, Kalabakan bagi membantu siasatan,” katanya, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata punca sebenar kematian masih menunggu keputusan bedah siasat yang dijalankan oleh Jabatan Forensik Hospital Tawau, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.







